Iftar Ala Madinah saji aktiviti menarik
SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang bakal kembali tidak lama lagi akan disajikan dengan pelbagai aktiviti sebelum berbuka puasa bagi memeriahkan sambutannya tahun ini.
Ketua Projek, Firdaus Hussamuddin berkata, antara aktiviti dirancang adalah sesi tazkirah, ceramah, jualan makanan dan kegiatan sampingan lain yang bermanfaat di samping mengambil keberkatan Ramadan.
“Lebih menariknya, semua aktiviti disediakan klien kita sendiri contohnya Wardah Beauty (Wardah), KDEB Waste Management (KDEBWM) dan banyak lagi. Jadi setiap klien akan ada aktiviti berbeza.
“Tahun ini kita juga menggunakan ‘single entrance’ yang mana orang ramai boleh masuk menerusi satu laluan sahaja, namun wajib mendaftar dahulu sebelum pihak pengurusan mengimbas kod QR pendaftaran.
“Justeru, pengunjung diminta daftar dua hari sebelum walaupun pendaftaran dibuka seminggu lebih awal dari tarikh iftar dan kami tak galakkan ‘walk-in’ kerana bimbang makanan tidak mencukupi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bermula 13 Mac hingga 4 April terbuka kepada 1,000 tetamu sehari bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.
Firdaus yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf memaklumkan, sambutan tahun lalu cukup meriah bahkan mencecah 1,500 pengunjung setiap hari.
Tambahnya, orang ramai digalakkan mengambil peluang sebaik-baiknya termasuk mengajak seisi keluarga hadir ke program berkenaan.
“Mesej saya adalah supaya orang ramai mendaftar menerusi kod QR yang disiarkan setiap hari di akhbar dan platform digital Sinar Harian,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!