Arsenal mampu lepasi halangan Porto
BEKAS pemain Manchester United yang kini meneruskan karier sebagai pengulas bola sepak, Owen Hargreaves percaya Arsenal mampu menjinakkan Porto FC pada pertembungan kedua pusingan Liga Juara-Juara di Emirates pada pertengahan minggu hadapan.
Menurut Hargreaves, anak buah Mikel Arteta hanya perlu meneruskan momentum kemenangan di Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memadam kelebihan Porto seterunya melangkah ke suku akhir.
Pada aksi pertama di Portugal bulan lalu, The Gunners mengalami kekalahan 0-1 menerusi jaringan Galeno pada minit akhir permainan.
"Arsenal mempunyai apa yang diperlukan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini. Mereka mempunyai skuad yang muda dan ghairah serta pengurus (Mikel Arteta) yang berani mengambil risiko.
"Dengan momentum yang ada, tidak mustahil mereka mampu menamatkan saingan Liga Juara-Juara musim ini sebagai juara.
"Apa pun, pemain muda seperti Gabriel Martinelli perlu memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.
"Tiada gunanya mereka mendominasi perlawanan tetapi gagal menjaringkan gol," ujar Hargreaves.
Sementara itu, Rio Ferdinand berpendapat tiada kelab yang mahu diundi menentang Arsenal jika The Gunners berjaya meneruskan kemaraan ke suku akhir.
"Malah, saya percaya Manchester City juga tidak mahu berdepan Arsenal kerana ada pasukan lebih mudah untuk ditewaskan.
"Sudah tentu skuad kendalian Arteta adalah ancaman bagi mana-mana pasukan dalam kempen musim ini.," katanya.
Arsenal tidak pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara dan hampir melakukannya pada musim 2005/06 selepas tunduk 1-2 kepada gergasi Sepanyol, Barcelona di pentas final.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!