Badang negara berkampung sebulan di Acheh
KEM angkat berat negara berkampung di Acheh, Indonesia sebagai pentas pemanas badan sebelum menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand bulan depan.
Tiga badang yang terlibat dalam kem latihan tersebut terdiri daripada Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Erry Hidayat dan Muhamad Aznil Bidin.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, mereka yang berlepas ke Acheh pada Selasa akan berlatih selama sebulan dalam bulan Ramadan sebelum terbang ke Phuket.
“Kejohanan di Phuket adalah pertandingan wajib terakhir yang perlu disertai sebelum nama atlet terkini dikeluarkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sama ada layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 atau sebaliknya," katanya.
Beliau menjelaskan, Aniq dan Aznil akan bertanding dalam kategori 61 kilogram (kg), manakala Erry bersaing bagi kategori 73kg.
“Marilah rakyat Malaysia doakan agar antara mereka akan terpilih,” katanya.
Menurut Ayub, selain tiga badang itu, kem angkat berat negara turut disertai pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim, jurulatih, Edmund Yeo dan seorang pegawai dari Majlis Sukan Negara (MSN).
“Buatlah yang terbaik untuk negara, misi penting agar sukan angkat berat mampu mencipta sejarah buat Malaysia.
“Perlu sedar kita sukan yang bukan popular, namun kita telah sumbangkan pingat untuk negara pada Sukan Komanwel,” katanya.
Sebagai rekod, Aniq sebelum ini mencipta sensasi apabila memecah rekod kebangsaan kategori 61kg dalam Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar pada Disember lalu berada di ranking ketujuh kategori 61kg Kelayakan Olimpik Paris 2024.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!