Tak menang tangan siapkan tempahan burasak

Salmah membungkus burasak di rumahnya di Kampung Parit Marjunit Laut, Benut Pontian.
Salmah membungkus burasak di rumahnya di Kampung Parit Marjunit Laut, Benut Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Burasak yang merupakan hidangan tradisi masyarakat Bugis yang terkenal di daerah ini, sudah mula ditempah pelanggan biarpun belum lagi memasuki Ramadan.

Salmah Sidek, 49 dari Kampung Parit Marjunit Laut, Benut berkata, tempahan burasak biasanya dibuat lebih awal kerana permintaan terlalu tinggi termasuk dari luar Johor.

Disebabkan sambutan tinggi, Salmah terpaksa menutup tempahan pada minggu pertama Ramadan disebabkan kekangan tempat penyimpanan selain mengelak risiko tempahan tidak dapat disiapkan menjelang Aidilfitri.

"Setiap kali tiba Ramadan, memang ramai yang akan tempah awal burasak. Keadaan sebegini sudah biasa saya alami sejak mengusahakan burasak sejak 14 tahun lalu.

"Biasanya awal puasa, tempahan burasak sudah mencecah 2,000 bungkus. Dalam tempoh seminggu pula akan cecah 4,000 bungkus dan tempahan akan terus ditutup," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, dia akan memulakan proses membuat burasak seawal jam 9 pagi dibantu empat pekerja.

Salmah yang sudah 14 tahun mengusahakan burasak tidak menang tangan menyiapkan tempahan.
Salmah yang sudah 14 tahun mengusahakan burasak tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

"Burasak diperbuat daripada nasi yang ditanak bersama santan segar dan garam dengan nasi ditanak separuh masak dan kemudiannya dibungkus dalam daun pisang muda berbentuk segi empat panjang, bentuknya seakan lepat pisang.

Artikel Berkaitan:

"Lima keping burasak selepas itu dibungkus bersama menggunakan tiga hingga empat keping daun pisang, sebelum diikat dan direbus selama sehingga lima jam," ujarnya.

Ibu kepada tujuh anak ini, berkata proses penghasilan burasak mengambil masa yang lama dan makanan tradisi itu turut disejuk bekukan.

Selain itu, dia juga membuat lepat loi yang menggunakan pulut dan berbentuk tiga segi panjang yang sama kaedah pembuatannya seperti burasak.

Salmah menunjukan burasak yang menerima permintaan tinggi pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.
Salmah menunjukan burasak yang menerima permintaan tinggi pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.

"Burasak menggunakan daun pisang nipah, sebab daun pisang lain dikhuatiri menyebabkan nasi jadi pahit. Jadi, tempahan perlu dibuat oleh pihak pembekal untuk mendapatkan daun pisang.

"Begitu juga dengan beras dan santan yang merupakan bahan terpenting untuk membuat burasak. Anggaran 40 kilogram beras dan 15 kilogram santan perlu disediakan pada awal Ramadan untuk membuat burasak," katanya.

Salmah berkata, sepanjang Ramadan, dia turut membekalkan burasak kepada peniaga bazar Ramadan di beberapa lokasi di bandar Pontian dan Johor Bahru.

"Burasak dulu hanya boleh ditemui ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, tetapi kini semakin menjadi pilihan untuk dinikmati bersama asam pedas ikan parang, rendang, serunding dan pelbagai menu yang lain," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!