Boleh beri pada keluarga jika pemilik tak dapat berniaga

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) memberi kelonggaran kepada ahlinya berkaitan pemilikan sewaan tapak bazar Ramadan.

Setiausaha Agungnya, Sharin Darus berkata, pertimbangan itu dibuat sekiranya pemilik lesen mempunyai kekangan yang menyebabkan peniaga berkenaan tidak dapat berniaga.

“Sebenarnya jika ikutkan syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memang tidak boleh tetapi kita pertimbangan jika ia diberi kepada ahli keluarga pemilik tapak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian Rabu.

Menurutnya, sewaan tapak kepada warga asing adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memainkan peranan penguatkuasaan mereka dengan tegas,” ujar beliau.

Sharin berkata, PPPKMWP bersama tiga persatuan lain diberi kepercayaan oleh DBKL untuk mengendalikan bazar Ramadan tahun ini.

“Ia melibatkan lebih 1,000 tapak di 22 lokasi di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, persiapan tapak bazar Ramadan kini berada di fasa akhir.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang telah selesai, ada kawasan lain masih belum selesaikan,” katanya.

Mengulas mengenai keuntungan atas angin oleh pihak yang menyewakan tapak kepada pihak ketiga, Sharin berkata, perkara itu tidak dinafikan berlaku.

“Kebiasaannya DBKL ambil langkah penguatkuasaan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami di persatuan hanya sediakan tapak, kanopi selain memastikan peniaga makanan serta pekerjanya mengambil suntikan tifoid,” ujar beliau.

Tambahnya, harga sewaan tapak bazar Ramadan di bawah persatuan itu bermula RM400 sehingga RM800 sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Malam Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) Kuala Lumpur, Khalim Suradi berkata, penyelewengan tapak bazar Ramadan seakan tidak berkesudahan meskipun penguatkuasaan sering dijalankan oleh PBT.

Dakwanya, ada pihak memperoleh lesen daripada DBKL namun menjualnya kepada pihak ketiga demi mengaut keuntungan.

“Kebiasaannya satu tapak dijual semula sekurang-kurangnya RM10,000 hingga mencecah RM80,000 sebulan berdasarkan kedudukan tapak,” katanya.

Ujar beliau, selagi ada permintaan dan penawaran, jual beli tapak bazar Ramadan tetap berlaku.

Selain Kuala Lumpur, Terengganu juga bakal mengambil tindakan tegas kepada pihak yang menyewakan tapak bazar Ramadan kepada warga asing di negeri itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!