'Buat pejuang 'dua garis', jangan berputus asa'
SHAH ALAM - Setiap perkahwinan sudah pasti mengimpikan kehadiran zuriat sebagai pelengkap istana yang dibina namun sudah tertulis rezeki, ajal, maut dan jodoh pertemuan semuanya adalah ketentuan yang Maha Esa.
Ada pasangan yang menunggu cahaya mata sehingga belasan mahupun puluhan tahun, malah ada yang berusaha dengan 1,001 cara untuk mendapatkannya.
Itu yang dikongsi seorang usahawan, Noorain Seman, 35, dan berpesan buat wanita pejuang 'dua garis' atau ingin memiliki zuriat supaya tidak berputus asa serta teruskan usaha dalam mendapatkan cahaya mata.
Noorain dan suami, Mohd Ridzuan Azis, 37, melalui tujuh tahun perkahwinan tanpa zuriat sejak diijabkabulkan pada 18 September 2014.
"Jangan putus asa untuk mendapatkan sesuatu. ALLAH SWT telah tetapkan rezeki kita pada waktu yang kita perlu. Yakinlah dengan perancangan-Nya," ujar Noorain kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pelbagai ikhtiar dilakukan pasangan suami isteri itu termasuk dengan berubat secara tradisional namun tidak berjaya.
Berkat kesabaran dan doa tidak henti, mereka akhirnya dikurniakan cahaya mata kembar pada 28 Ogos 2021.
Kedua-dua bayi itu diberi nama Aariz Mikhail dan Airis Mikhayla yang kini berusia tiga tahun hasil usaha mereka menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada akhir 2020.
Kisah suami isteri itu mendapat perhatian selepas Noorain, berkongsi video menceritakan perjalanannya sejak menerima keputusan IVF, detik kehamilan hingga selepas selamat melahirkan serta membesarkan anak baru-baru ini.
Ujar Noorain, mungkin melalui video yang dikongsikan orang ramai melihatnya seperti mudah, namun bila dilalui sendiri segala-galanya hanya pejuang garis dua sahaja yang tahu bagaimana perasaannya.
"Saya bersama suami sebelum ini melakukan pelbagai ikhtiar termasuk berubat secara tradisional malah saya bertemu pakar bagi menjalani pembedahan laporoscopy pada 2016 akibat cyst, namun belum ada rezeki nak hamil.
"Ibu saya dah lama cadangkan untuk cuba IVF namun belum sampai seru. Akhirnya pada Disember 2020, saya dan suami cuba kaedah IVF dengan pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Thokha Muhammad.
"Selama sebulan saya tinggal di Johor ketika itu untuk jalani rawatan ini," ujarnya yang juga pengasas produk kesihatan dan kecantikan.
Tambahnya, dia dan suami sudah bersedia dan bertawakal dengan apa jua keputusan kerana menyerahkan urusan rezeki kepada ALLAH.
Ujar wanita berasal dari Terengganu itu, Dr Thokha sendiri banyak kali menekankan pentingnya untuk bertawakal dengan usaha yang dilakukan.
"Masa itu terdetik juga, berjaya atau tidak rawatannya. Masa Dr Thokha menyuruh buka bekas UPT, saya dah menangis dulu sebelum tengok keputusannya. Bila buka dan lihat dua garisan, memang terus meraung serta peluk suami.
"Syukur Alhamdulillah. Kami langsung tak berharap jantina apa. Bagi kami, dapat seorang pun syukur. Namun tak sangka, ALLAH hadiahkan kembar sepasang jantina pula tu," katanya lagi.
Ketika menyingkap semula perjalanan rawatan IVF yang dilalui sebelum akhirnya berjaya hamil, Noorain berkata segalanya bukanlah satu proses yang mudah.
Dia 'menetap' di Johor Bahru selama sebulan ketika mendapatkan rawatan kesuburan dengan Dr Thokha.
Ketika dalam proses itu, Norain mengakui khuatir dirinya tidak dapat menerima hakikat seandainya rawatan dijalankan tidak berjaya.
Bagaimanapun dia dan suami nekad malah sanggup membelanjakan wang simpanan mereka berjumlah RM30,000 untuk menjalani rawatan berkenaan.
"Saya takut sangat jika gagal malah ketika buat rawatan, saya seperti berperang dengan emosi. Perasaan jadi bercampur baur dan takut malu jika gagal kerana memikirkan apa persepsi orang terhadap saya.
"Alhamdulillah, percubaan sulung itu berhasil dan ikutkan dapat seorang anak pun saya sudah bersyukur namun ditakdirkan ALLAH kurniakan sepasang kembar walaupun pada awal pemeriksaan hanya kelihatan satu janin sahaja," ujar Noorain.
Mengenai kisahnya yang tular di laman sosial, Noorain berkata, tujuannya berkongsi video di TikTok adalah untuk beri semangat dan inspirasi kepada wanita di luar sana yang sedang melaluinya.
"Di samping itu, saya juga mahu berkongsi ilmu dan Alhamdulillah, ramai tertarik untuk cuba rawatan IVF selain memuji suami kerana setia bersama saya.
"Ramai juga yang mendoakan kerana ada segelintirnya mengikuti perjalanan saya dari awal dan terima kasih diucapkan buat semua.
"Buat pejuang garis dua di luar sana, jangan berputus asa terus ikhtiar dan yakin ALLAH akan beri rezeki pada masa yang tepat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!