Zii Jia, Pearly-Thinaah tumbang awal di Paris
HARAPAN komuniti badminton tempatan mahu melihat perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Terbuka Perancis Super 750 di Arena Porte De La Chapelle, Paris tidak kesampaian.
Bekas pemenang Seluruh England itu ditunjukkan jalan pulang seawal pusingan pertama pemain Denmark, Magnus Johannesen, straight set 15-21, 19-21 dalam masa 41 minit.
Cabaran di Arena Porte De La Chapelle, Paris berakhir menyaksikan Zii Jia dijangka memberikan tumpuan kepada Seluruh England minggu depan diikuti Terbuka Switzerland (19 hingga 24 Mac).
INFO
Zii Jia di Terbuka Perancis
2024: Pusingan 32
(Tewas kepada Magnus Johannesen)
2023: Pusingan 16
(Tewas kepada Li Shifeng)
2022: Pusingan 32
(Tewas kepada Shesar Hiren Rhustavito)
2021: Pusingan 32
(Tewas kepada Loh Kean Yew)
2020: TIADA
2019: Pusingan 32
(Tewas kepada Anthony Sinisuka Ginting)
Turut mengiringi tersingkir awal dari Paris, beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah yang akur kehebatan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.
Pearly-Thinaah yang menang set pertama 21-18, gagal meneruskan momentum positif apabila tewas dua set berikutnya 16-21, 12-21 kepada lawan mereka dalam masa 74 minit.
Satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut tersingkir setelah tewas straight set, 15-21, 15-21 kepada Setyana Mapasa-Angela Yu, dalam masa 44 minit.
Terdahulu beregu badminton campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei seperti dijangka mara ke pusingan kedua.
Tang Jie-Ee Wei yang berstatus nombor sembilan dunia mara selepas menewaskan satu wakil negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, 21-15, 21-18 dalam masa, 42 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!