Bersatu akan berdepan krisis perlembagaan parti - Puad

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti.

Menurutnya, ia susulan tindakaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu baru meluluskan pindaan parti.

"Rashid melakukan 'kamikaze' kerana Bersatu baru pinda perlembagaan parti. Dia tidak takut pada pindaan. Dia lebih takut kapal Bersatu yang akan karam.

"Bersatu akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti jika pindaan itu tidak terpakai sebelum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Rabu, Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin.

Selain itu, turut tular ketika ini terdapat lima lagi wakil rakyat parti tersebut yang didakwa akan mengikut jejak Abdul Rashid.

Sementara itu, Mohd Puad dalam hantaran sama turut mendakwa tindakan Abdul Rashid itu juga memperlihatkan kapal Bersatu yang semakin karam.

Perkembangan terbaharu itu juga katanya, memberi tempeleng maut kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan sebagai 'poster boy' Bersatu di negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Azmin kata, rakyat penat tengok gelagat ahli Parlimen dan ADUN Bersatu alih sokongan.

"Dia (Azmin) lupa, dia pernah buat rakyat penat dengan 'Langkah Sheraton' dan kini 'Langkah Dubai'," katanya.

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!