'Din Beringin' dalang curi kabel di tapak projek diberkas
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket curi kabel, besi tembaga dan aluminium di kawasan tapak projek dan perumahan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kegiatan itu didalangi seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun dikenali sebagai Din Beringin bersama rakannya.
"Kita telah menerima satu laporan polis berkaitan kes curi kabel di Taman Pelangi, Sentul di sini, pada 28 Februari lalu, siasatan mendapati kejadian kecurian berlaku pada hari sebelumnya kira-kira jam 10 pagi.
“Hasil risikan, kita berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun di Jinjang Utara pada 3 Mac lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, pada Khamis.
Ahmad Sukarno berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau melibatkan 11 kes dadah dan tiga lagi kesalahan jenayah.
"Kita turut merampas sebuah kereta, alat kawalan jauh, dua telefon bimbit pelbagai jenama, satu guni yang mengandungi beberapa gulung wayar kabel warna hitam yang telah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memotong kabel turut dirampas," ujarnya.
Jelas beliau, hasil barang-barang yang dicuri itu akan dijual semula di kedai besi buruk untuk mendapatkan wang bagi tujuan membeli dadah.
"Kita giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.
"Susulan daripada operasi yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak sembilan kes kecurian yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur," katanya.
Dalam kes berasingan, Ahmad Sukarno berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang disyaki terlibat dalam kes ragut di Flat Seri Perak, di sini, pada 4 Mac lalu.
"Suspek ditahan pada keesokan hari di sekitar ibu kota, kita turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS 150, sebuah helmet warna merah, segugus kunci dan sehelai jaket yang digunakan semasa kejadian," ujarnya.
Beliau berkata, modus operandi suspek bersama seorang lagi rakannya melakukan kegiatan meragut di kawasan perumahan dan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.
"Kegiatan jenayah itu dijalankan secara berkumpulan, hasil ragut tersebut akan dijual di kedai untuk mendapatkan wang dan dibahagikan sesama mereka," katanya.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah melibatkan kes dadah.
"Kita masih mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes.
"Susulan kejayaan itu, kita telah berjaya menyelesaikan sebanyak enam kes ragut yang dilaporkan di sekitar Sentul," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!