Pesara polis sebak rayu hukuman dikurangkan
IPOH - Seorang pesara polis sebak dan menitiskan air mata memohon Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis bersikap belas ihsan mengenakan hukuman ringan atas pertuduhan menerima suapan lapan tahun lalu.
Sazali Shahrian, 61, sebelum itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman atas 10 pertuduhan menerima wang daripada seorang individu dengan jumlah keseluruhan RM5,000.
Dalam rayuannya, bekas anggota berpangkat inspektor itu mengatakan bahawa dia sedar terhadap kesilapan dilakukan dan amat menyesali perbuatan terbabit.
Tertuduh memberitahu mahkamah, disebabkan kesalahan dilakukan itu, dia sehingga kini masih belum menerima sebarang ganjaran dan pencen sebagai penjawat awam sedangkan amat memerlukan wang untuk membiayai rawatan dialisis isterinya.
"Pendapatan saya hanyalah mengambil tempahan nasi beriani untuk diinfaqkan ke masjid-masjid.
"Jadi saya mohon hukuman ringan kerana saya sekarang perlu menjaga isteri seumur hidup," katanya sebak dan mengesat air mata.
Mengikut pertuduhan, Sazali sebagai Inspektor Polis Pegawai Penyiasat Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian didakwa telah menerima barang berharga tanpa balasan iaitu wang daripada seorang pengarah syarikat perkhidmatan pengangkutan barang melalui akaun bank.
Suapan itu sebagai dorongan terhadap kerja-kerja rasmi tertuduh yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ambank cawangan Bagan Serai dalam daerah Kerian antara Februari 2016 hingga November 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi semua pertuduhan dan 10 bulan penjara jika gagal bayar denda.
Hakim Ibrahim memberitahu, hukuman itu mengambil kira perkhidmatan tertuduh selama 40 tahun dalam pasukan polis serta menimbang keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menerima 27 lagi pertuduhan menerima suapan sebagai ‘Take Into Consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!