Tiada lagi rumah urut baharu di Langkawi

Kedah tidak bercadang untuk menambah bilangan pusat urut di Langkawi.Gambar hiasan 123RF.
Kedah tidak bercadang untuk menambah bilangan pusat urut di Langkawi.Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah tidak bercadang untuk menambah bilangan pusat urut di Langkawi kerana jumlahnya sudah mencukupi untuk kemudahan pelancong.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, sehubungan itu tiada lagi lesen baharu premis berkaitan dikeluarkan bagi membendung aktiviti tidak bermoral.

Menurutnya, bagaimanapun pusat kecantikan dan rawatan kesihatan dibenarkan beroperasi berikutan ia tertakluk dalam undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mansor ketika sesi penggulungan di DUN Kedah pada Khamis.
Mansor ketika sesi penggulungan di DUN Kedah pada Khamis.

“Premis urut sedia ada masih boleh beroperasi selagi tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Untuk buka rumah urut baharu tidak dibenarkan, seperti mana arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Yang boleh dipertimbangkan hanya pusat kecantikan dan rawatan kesihatan dengan syarat patuhi peraturan PBT,” katanya ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Mansor berkata, buat masa ini, terdapat 41 premis urutan traditional, refleksiologi 30 buah, rawatan muka (17 buah), dandan rambut (31 buah), gym (5 buah), sauna/spa (6 buah) serta merias kuku dan solekan sebanyak lima premis beroperasi di Langkawi.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah itu masih lagi beroperasi dan kita tak berhajat untuk kembangkan lagi.

“Jika ada yang bercadang buka spa dan mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan PBT, kita benarkan. Yang kita tak benarkan adalah pusat urut sebab kita dalam konsep mentadbir negeri ini ke arah lebih baik,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sektor pelancongan di Langkawi bukan bertumpu kepada pelancongan spa atau premis urut, sebaliknya alam semulajadi pulau lagenda yang menjadi tarikan kepada pelancong dunia.

“Kita mahu perkenalkan kepada pelancong perkara-perkara yang semulajadi, sejarahnya, keunikan pulaunya, makanan, budaya dan sebagainya. Ini yang menjadi keutamaan,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan mewujudkan hospital pakar di Langkawi bagi menarik kunjungan pelancong antarabangsa, Mansor berkata, perkara itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar Kedah dapat membangunkan sektor pelancongan kesihatan.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pihak industri dan swasta untuk melabur dan membina hospital pakar ini.

"Kita akan angkat cadangan ini kepada KKM untuk diambil tindakan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!