Syarikat pengendali pakej umrah, pengarah didakwa gagal patuh award TTPM

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah syarikat pengendali pakej umrah dan seorang pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik tuntutan sebanyak RM60,929 kepada empat mangsa pada April tahun lepas.

Syarikat Persada Oasis Travel & Tours Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Mohd Firdaus Ahmad, 38, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Syarikat itu dan Mohd Firdaus masing-masing berdepan dengan empat pertuduhan gagal mematuhi award TTPM.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat TTPM di sini pada 14 April 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan jika sabait kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhana Mohd dan Pegawai Pendakwa Sallim Wahid daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) manakala syarikat itu dan Mohd Firdaus tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Terdahulu, Suhana menawarkan ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan kepada tertuduh tetapi mahkamah menetapkan RM5,000 untuk empat pertuduhan yang dihadapi oleh Mohd Firdaus.

"Kita juga mohon pengarah ini melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya sekali setiap bulan,” kata Suhana dan permohonannya dibenarkan Irza Zulaikha. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!