Sungai Bernam dikesan jadi habitat ikan pemangsa asing
SABAK BERNAM - Jabatan Perikanan Selangor mengesan terdapat habitat ikan pemangsa (invasif), baung ekor merah yang mengancam populasi ikan tempatan di Sungai Bernam sejak kebelakangan ini.
Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, maklumat dan laporan itu diperoleh daripada nelayan darat yang mendakwa menemui spesies asing di sungai itu.
Bagaimanapun, katanya, ia masih terkawal namun tetap memandang serius tindakan melepaskan ikan pemangsa yang merosakkan ekosistem sungai sedia ada.
"Kita ada pegawai khusus untuk menjaga nelayan darat dan ada di antara mereka mengadu mengenai kewujudan ikan pemangsa di sungai ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat Sungai Bernam di Pusat Konservasi Kelip-Kelip Kampung Sungai Panjang, di sini pada Khamis.
Sebanyak 200,000 ekor benih udang galah dilepaskan serentak pada hari sama membabitkan 100,000 ekor masing-masing di Sungai Bernam dan Sungai Selangor.
Noraisyah memberitahu, ikan pemangsa itu asalnya dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dibela dalam akuarium, namun dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab berikutan kos makanannya semakin tinggi.
"Bagaimanapun, sampai satu tahap, penternak yang membela ikan pemangsa ini tidak mampu memberi makan kepada ikan ini.
"Apabila hendak bunuh ikan asing ini, mungkin penternak tidak sampai hati kerana sudah dibela dan pilihan terakhir mereka melepaskannya di sungai," ujar beliau.
Selain itu, katanya, kehadiran ikan pemangsa itu juga mungkin berpunca daripada banjir menyebabkannya terlepas di sungai terbabit.
Ujar beliau, lambakan ikan larangan di perairan sungai akan mengakibatkan ikan asal atau ikan tempatan berkurangan.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya juga akan terus meningkatkan operasi pemburuan menangkap baung ekor merah di negeri ini.
Ujar beliau, operasi itu telah mula dilaksanakan pada tahun 2022 lalu dan akan diteruskan pada tahun ini dari semasa ke semasa.
Katanya, dalam operasi itu juga, terdapat ikan pemangsa ditangkap dan ada di antara spesies itu seberat sehingga 30 kilogram.
"Ikan asing ini cepat membesar dan memakan ikan asli, manakala setengah spesies asing ini dapat meneruskan kelangsungan hidup di persekitaran atas kelebihan sifatnya yang tahan lasak dan mampu hidup dalam air tercemar.
"Tahun lepas semasa operasi pemburuan itu juga, kita telah memanggil penyelidik untuk membantu kami membuat kajian mengenai perkara ini.
"Semasa kajian itu dibuat, kita dapati terdapat spesies ikan tempatan termasuk udang galah dalam perut ikan baung ekor merah yang ditangkap di Sungai Selangor," tambah beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!