Isu Taylor Swift: Pemuda UMNO sindir pemimpin Bersatu

Hafiz (kiri), Wan Ahmad Fayhsal
Hafiz (kiri), Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana dilihat tiada kebersamaan dalam kalangan pemimpin parti itu membabitkan isu konsert The Eras Tour, yang membawakan penyanyi, Taylor Swift.

Kenyataan Hafiz itu merujuk kepada perbezaan pandangan antara Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif dan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai penganjuran konsert Swift.

Menurutnya, situasi itu tidak sepatutnya berlaku terhadap parti yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh yang didakwa sering bersendirian dalam menyuarakan isu-isu nasional.

"Ketua Pemuda UMNO adalah representasi kepada sayap pemuda. Perkara yang ditegur kepada kerajaan adalah untuk penambahbaikan dan memperbetulkan. Bukan mahu meruntuhkan.

"Satu pandangan itu cukup kukuh untuk memberikan isyarat tentang pendirian pemuda dalam satu-satu hal. Sebagai contoh, pasukan Pemuda UMNO ada sahaja bersama dalam segenap hal.

"Persoalan yang lebih besar, dimana suara pemuda-pemuda dari parti pembangkang? Adakah benar-benar tinggal seorang sahaja ketuanya? Kerana tidak pernah juga nampak yang lainnya. Bahkan kita seolah lupa ada parti pembangkang, kerana terlalu sunyi khasnya dari sayap orang mudanya.

"Kami hargai kebimbangan yang dilahirkan kepada Ketua Pemuda kami. Tapi kami lebih bimbang kalau rakyat lupa kita ada pembangkang yang tidak begitu kelihatan. Elok berilah tumpuan supaya nampak lebih ada kebersamaan di sebelah sana (pembangkang)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sasha Lyna pada Rabu meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung peluang keemasan yang terlepas untuk menjadikan negara sebagai tuan rumah bagi konsert Swift, namun tidak lama kemudian Wan Ahmad Fayhsal tampil mendakwa ia bukan pendirian parti.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan hampir berpeluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi bintang pop Amerika Syarikat (AS) itu, namun terlepas peluang itu kepada Singapura.

Swift berada dalam radar kerajaan Malaysia selepas menandatangani kontrak dengan syarikat pengurusan tempat di AS pada 2022 untuk menjadikan Kuala Lumpur Sports City di Bukit Jalil sebagai tarikan untuk acara sukan dan hiburan.

Walau bagaimanapun, difahamkan perjanjian tersebut tidak dimanfaatkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, manakala syarikat di AS mengurangkan rundingan untuk mengoptimumkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ini dilapor, menjelaskan insentif diberi kepada bintang pop tersebut menjadikan republik itu sebagai satu-satunya destinasi persinggahan siri jelajah dunia di Asia Tenggara, tidak berhasrat mencetuskan permusuhan dengan negara jiran.

Katanya, agensi kerajaan berunding dengan Swift untuk beliau datang, membuat persembahan dan menjadikan Singapura satu-satunya destinasi persinggahan dalam siri jelajahnya di Asia Tenggara.

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!