Bila hujan, surau ini boleh jadi 'kolam' - Peniaga
KUANTAN - Keadaan surau di Pantai Batu Hitam yang didakwa usang dan mudah bertakung air setiap kali hujan mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pengunjung dan komuniti pusat rekreasi berkenaan.
Mereka mendakwa surau tersebut tidak pernah diselenggara lebih 10 tahun lalu apabila kayu pada dinding separa batu kelihatan sudah reput dan patah.
Malah, lebih menyedihkan ruang solat surau itu dikatakan mudah dimasuki air dan bertakung setiap kali hujan.
Susulan masalah itu, mereka mahu pihak bertanggungjawab membaik pulih semula surau berkenaan.
Pengunjung, Azizan Abdul Khadir, 44, mengakui kecewa dengan keadaan surau seumpama itu, sedangkan ia berada di lokasi yang dikunjungi ramai orang.
"Kalau boleh baiki la sikit, bagi nampak sedap mata memandang dan selesa untuk digunakan.
'Kita faham surau ini tidak dilengkapi tempat berwuduk, tapi boleh ambil di kawasan berhampiran, tapi janji dia selesa kepada pengguna," katanya ditemui di Pantai Batu Hitam pada Khamis.
Peniaga minuman, Wan Mohd Naquituddin Wan Ismail, 22, mengakui tidak selesa menggunakan surau di situ disebabkan keadaannya yang dianggap daif.
Menurutnya, namun rakan peniaga sekitar melakukan inisiatif dengan menyumbangkan kain bagi menutup ruang solat wanita selain memasang kanvas di sekeliling surau bagi mengelakkan tempias air hujan.
"Bila hujan, surau ini boleh jadi 'kolam', sebab rendah dan mudah dimasuki air, rungutan daripada pengunjung selalu ada.
"Jadi, selalu bila mereka (pengunjung) hendak solat, saya akan minta ke surau yang jarak 200 meter dari pantai ini," ujarnya.
Sementara itu, peniaga makanan, Akmal Duha, 50, berkata, masalah membabitkan surau ini sudah diadukan kepada pihak berkenaan.
Dia bagaimanapun berharap kerja menaik taraf surau ini dapat diselesaikan segera.
"Kita faham untuk membaik pulih sesebuah tempat mereka perlukan peruntukan, tapi kalau boleh percepatkan demi keselesaan semua," katanya yang memaklumkan surau berkenaan dalam keadaan baik memuaskan sebelum kawasan pusat rekreasi itu dibaik pulih.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!