Starbucks di Asia Barat buang 2,000 pekerja
KUWAIT CITY - Francais Starbucks di Asia Barat memberhentikan kira-kira 2,000 staf mereka selepas berdepan kerugian besar akibat kempen boikot oleh penyokong pro-Palestin sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.
Syarikat runcit gergasi, Alshaya Group yang memegang hak untuk mengendalikan Starbucks di rantau itu mengumumkan keputusan pengecilan saiz kakitangan atas alasan situasi dagangan yang mencabar sejak lebih enam bulan lalu.
“Ia satu keputusan yang berat kerana terpaksa melepaskan 'rakan apron hijau' kami,” ujar jurucakap kedai kopi terkenal itu merujuk kepada barista yang diberhentikan.
Pengecilan saiz barista itu dibuat ketika rangkaian kedai kopi multinasional yang berpusat di Seattle, Amerika Syarikat (AS) tersebut menyaksikan kerugian mencecah berbilion dolar disebabkan gerakan boikot global sebagai tanda solidariti dengan Palestin.
Penjualannya terjejas dengan ketara di Asia Barat malah pelanggan di AS juga mula menyertai kempen boikot terhadap jenama yang menyokong Israel.
Pada Januari lalu, Starbucks mengesahkan perniagaan mereka di rantau tersebut terjejas teruk yang membawa kepada keputusan pada suku pertama meleset berbanding jangkaan pasaran - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!