Naib Presiden MBBF, Kamaruzaman meninggal dunia
NAIB Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Kamaruzaman Kadir disahkan meninggal dunia pada umur 76 tahun di kediamannya di Sri Kembangan, Selangor, kira-kira 9 pagi Rabu.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kehormat MBBF, Syed Fairus Syed Ali yang turut memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham telah dimandikan di Surau Taman Muhibah, Kajang dan dikebumikan di Chemor, Perak pada 5.30 petang Rabu.
"Kami dapat berita pemergian Allahyarham daripada anaknya yang memaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp, arwah meninggal di kediamannya kerana penyakit buah pinggang, beliau merupakan pesakit dialisis sejak 2011,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Syed Fairus berkata, pemergian Kamaruzaman yang merupakan Presiden Persatuan Para Powerlifting Malaysia merupakan kehilangan besar buat arena sukan bina badan negara kerana Allahyarham banyak menyumbangkan jasa terutamanya kepada sukan para powerlifting.
Sementara itu, World Para Powerlifting (WPP) dalam kenyataan turut menzahirkan kesedihan atas pemergian Kamaruzaman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Sukan Para Powerlifting Dunia (STC).
"Kamaruzaman memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan itu di Asia dan di seluruh dunia dalam tempoh 20 tahun lepas, kami amat sedih dengan pemergian Kamaruzaman yang merupakan Perwakilan Teknikal (TD) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) selama lebih 20 tahun.
"Kamaruzaman mengambil bahagian dalam hampir semua acara powerlifting para utama abad ini dari Sukan Paralimpik sehingga Kejohanan Dunia dan acara serantau seperti Sukan Komanwel. (Beliau ialah) seorang pesara Pegawai Tentera Laut yang berkhidmat untuk negaranya dari 1970 hingga 1996," menurut kenyataan itu.
WPP berkata, Kamaruzaman juga merupakan antara pengasas Sukan Para Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan terlibat secara langsung dalam Sukan Para Asia pertama yang menyokong Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) Malaysia.
Selain itu, Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Osoth Bhavilai dalam kenyataan lain berkata, pemergian Kamaruzaman merupakan satu kehilangan besar kepada APSF dan sukan para powerlifting iaitu beliau seorang pegawai tertinggi yang berkaliber di kedudukan tertinggi di dalam dan luar negara.
"Beliau telah banyak menyumbang kepada sukan ini dalam kapasitinya sebagai Perwakilan Teknikal Powerlifting yang dihormati di Sukan Para ASEAN, serta setia berkhidmat untuk Jawatankuasa Teknikal Sukan Powerlifting (STC) Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) sebagai Naib Pengerusi.
"Ingatan, doa dan simpati buat keluarga terdekat Kamaruzaman, rakan-rakan serta Persatuan Para Powerlifting Malaysia, NPC Malaysia serta Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF)," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!