Isu pencen: Ucapan Hadi tidak tepat, mengelirukan, kata Nik Nazmi
KUALA LUMPUR - Ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu pencen penjawat awam mengelirukan orang ramai, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, dakwaan Abdul Hadi kononnya kerajaan Persekutuan akan mengurangkan atau menghentikan pencen itu semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam tidak tepat kerana cadangan untuk menyemak semula saraan penjawat awam tidak menyentuh penjawat awam sedia ada.
"Hakikatnya, cadangan kerajaan adalah untuk menyemak semula saraan semua penjawat awam sedia ada dan mengkaji opsyen pengambilan penjawat awam baharu dengan kaedah persaraan baharu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan skim pencen sedia ada.
"Sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama, Abdul Hadi tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang tidak memberi gambaran sebenar terhadap cadangan kerajaan Persekutuan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.
Pada 24 Januari lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan bahawa status pencen penjawat awam sedia ada 'diteruskan iaitu tetap dan berpencen' dengan hanya pengambilan baharu sahaja akan terlibat dengan dasar baharu, dengan perinciannya akan diumumkan kelak oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Selain itu, Nik Nazmi mendakwa Abdul Hadi juga cuba memberi gambaran bahawa caruman KWSP adalah tidak Islamik, sedangkan KWSP juga satu perlindungan persaraan dan memiliki pilihan simpanan syariah.
"Pilihan simpanan syariah diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip syariah. Untuk memastikan prinsip syariah dipatuhi, suatu rangka kerja tadbir urus syariah diwujudkan untuk mentadbir urus aspek pematuhan syariah bagi simpanan pencarum," katanya.
Nik Nazmi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Kelantan dan Terengganu berkata, cadangan menggantikan sistem pencen dengan caruman KWSP juga pernah diumumkan oleh agensi kerajaan Kelantan iaitu Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 2022 yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum.
"Mengapa semasa YIK mengumumkan cadangan ini, tiada bantahan daripada Pas kalau hendak dikatakan KWSP tidak Islamik atau tidak mengikut ajaran Rasulullah SAW," katanya.
Selain itu, Nik Nazmi berkata, Pas seharusnya memiliki tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) milik parti itu yang ditubuhkan sejak lebih 30 tahun lepas terjaga, mengambil kira dakwaan guru terlibat tidak memiliki pelan persaraan termasuk KWSP selain dibayar di bawah paras gaji minimum RM1,500. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!