Laluan Raub Bypass dibuka bermula tengah malam ini
RAUB - Pengguna Lebuhraya Tengah Utama (LTU) ke Pantai Timur kini mampu menjimatkan tempoh perjalanan mereka kira-kira 30 minit berbanding dua jam selepas sebahagian Seksyen 5A: Raub ByPass dibuka secara rasmi bermula jam 12.01 tengah malam pada Jumaat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengguna dari Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ke Kuala Lipis tidak perlu lagi melalui bandar Bentong dan Raub dengan jarak 45.3 kilometer (km) terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum.
Menurutnya, secara keseluruhan Seksyen 5A: Raub ByPass membabitkan jarak 9.6 km dengan kerja-kerja pembinaan seksyen tersebut bermula pada 13 Jun 2019 dengan melibatkan kos berjumlah RM252.5 juta dengan skop utama membina jalan baharu empat lorong dua hala iaitu reka bentuk menepati piawaian JKR R5.
"Dengan pembukaan 6.4 km pada hari ini termasuk 600 meter yang telah dibuka pada 25 Jun 2023 lalu, menjadikan jumlah jajaran yang telah dibuka kepada rakyat adalah sepanjang 7 km.
"Baki sepanjang 2.6 km dijadualkan akan disiapkan pada Jun 2024," katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas majlis perasmian Sebahagian Seksyen 5A LTU Raub Bypass di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, Wan Rosdy menghargai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan selain mencadangkan agar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) disediakan untuk pengguna berehat sebelum meneruskan perjalanan selain menikmati kemudahan jalan yang luas dan selesa.
Beliau juga meminta pengguna berhati-hati ketika menggunakan laluan tersebut untuk mengelakkan kemalangan.
"Kita dapati kemalangan yang berlaku masih di tahap tidak selesa bagi kita, jadi masih ada ruang untuk kita perbaiki.
“Saya menyeru pemandu jalan raya berhati-hati, bila jalan disediakan baik dan lurus ini takut mereka ‘speed’," ujar beliau.
Mengulas masalah kebersihan yang sering berlaku di LTU khususnya ketika musim perayaan dan cuti persekolahan, Wan Rosdy turut menasihati pengguna menjaga aspek tersebut demi kemudahan dan keselesaan bersama.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!