Rasuah Busters sedia jadi 'orang tengah' perangi salah urus tadbir
PUTRAJAYA - Rasuah Busters (RB) sedia membantu mana-mana pasukan badan beruniform negara untuk membawa isu kepincangan yang berlaku dalam urus tadbir organisasi berkenaan.
Penasihat Projek RB, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu akan menjadi 'orang tengah' untuk menentang perbuatan rasuah demi menyelamatkan Malaysia daripada pihak yang menyalahgunakan kuasa.
"Jika mereka (pasukan beruniform) mempunyai masalah, RB boleh di depan untuk membela dan menjadi suara kepada mereka.
"Mungkin mereka takut untuk menyuarakan sesuatu, oleh itu RB akan ada di barisan hadapan untuk suarakan kepincangan dalam perkhidmatan terlibat," katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan meja bulat kursus 'Memperkukuh tadbir urus baik sebagai budaya' di Maktab Ketahanan Nasional, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Muhammad Nasir yang juga Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf turut mengesyorkan semua pasukan badan beruniform dan penjawat awam untuk mengadakan kursus berkaitan urus tadbir baik bagi menyebarkan mesej anti rasuah dalam organisasi.
Ini kerana katanya, perkara berkenaan tidak hanya melibatkan sesetengah golongan rakyat tetapi isu menyeluruh yang boleh memberi kesan kepada negara.
"Beri pendedahan dengan memanggil orang yang pakar dalam bidang tertentu supaya timbul kesedaran mengenai urus tadbir baik.
"Jika tidak didedahkan, sampai bila-bila sistem pentadbiran organisasi tidak akan berubah," ujarnya.
Sementara itu Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Major General Datuk Johnny Lim Eng Seng berkata, maktab itu menawarkan program lanjutan selama setahun melibatkan pegawai tertinggi dalam angkatan tentera.
"Kohort kelima ini telah memulakan pengajian pada 8 Januari lalu melibatkan 18 penuntut termasuk empat dari luar negara (iaitu) seorang Brigedier Jeneral dari India dan tiga Kolonel masing-masing dari Singapura, Indonesia dan Nigeria.
"Ini merupakan kursus paling tinggi dalam ATM dan kerana melibatkan pegawai tinggi, mereka tidak lagi belajar tentang operasi dan taktikal tetapi berkaitan strategi serta dasar pertahanan negara termasuk keselamatan," jelasnya.
Di akhir kursus tersebut, Johnny memaklumkan, satu kertas polisi akan dibentangkan kepada pihak berkepentingan untuk dijadikan rangka kepada dasar baharu atau sebagai rujukan.
"Mana-mana agensi yang memerlukan data atau informasi, boleh rujuk di arkib kami. Ia bukan sahaja kajian, ada juga statistik.
"Banyak idea yang boleh digunakan oleh agensi atau kementerian berkaitan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!