DAP Perak kutuk ugutan terhadap Kor Ming
IPOH - DAP Perak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menghantar nota ugutan terhadap Naib Pengerusi DAP Nasional, Nga Kor Ming pada Khamis.
Ahli Jawatankuasa DAP Perak dalam satu kenyataan menjelaskan tindakan itu secara jelas melanggar undang-undang selain ia bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat.
Menurutnya, DAP berpandangan setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyuarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bimbang akan diugut atau diserang secara fizikal.
"Dalam masyarakat yang demokratik dan berbilang kaum, adalah penting untuk kita menegaskan bahawa kepelbagaian harus dihormati dan suara yang berbeza harus diterima dengan penuh keterbukaan.
"Walaupun kita mungkin berbeza pendapat dalam dasar ataupun ideal politik. Namun, kita tidak sepatutnya membenarkan perbezaan itu melanggar batas-batas kesusilaan, selain boleh mengganggu-gugat anggota keluarga tersayang," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook DAP Perak pada Khamis.
DAP Perak juga menggesa semua pihak mengamal semangat perpaduan demi memelihara keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.
Jelasnya, mana-mana individu juga perlu mengekalkan ketenangan dan bersikap rasional dalam menghadapi situasi ini.
"Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan menangani kes-kes yang berbentuk ugutan tersebut.
"Selain itu, kami ingin menyatakan simpati dan solidariti terhadap bonda Kor Ming pada waktu yang menguji ketika ini," katanya
Pada Khamis, Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, menerima nota ugutan daripada individu tidak dikenali.
Ugutan tertulis 'Nga Kor Ming (Jangan cabar Islam)' itu ditemui di hadapan rumah keluarga pemimpin DAP berkenaan di Ayer Tawar dekat sini sekitar jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah yang mengesahkan kejadian terbabit memaklumkan, laporan kejadian berkenaan diterima daripada ibu mangsa berusia 76 tahun semasa wanita itu keluar dari rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!