Hubungan ekonomi Malaysia-Australia lebih kukuh menerusi empat kerangka utama

Anwar menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU) pada Khamis. Foto Bernama
Anwar menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU) pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

CANBERRA - Menerusi pembabitan kedua-dua negara dalam empat kerangka ekonomi termasuk perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) hubungan ekonomi antara Malaysia dan Australia dijangka terus kekal utuh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, hubungan ekonomi antara Australia dan Malaysia berkembang kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdasarkan kepentingan geoekonomi bersama dan usaha memakmurkan serantau.

"Tahun lepas, perdagangan kita bernilai kira-kira A$27 bilion (RM83.7 bilion), mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang ASEAN kedua terbesar Australia. Di peringkat global, kami adalah rakan dagangan kesepuluh terbesar Australia," kata beliau menerusi syarahannya bertajuk 'Navigating Geopolitical Currents: Malaysia and Australia’s pivotal role in Asia Pacific' pada program 2024 Gareth Evans Oration yang berlangsung di Australian National University (ANU) di sini pada Khamis.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, komoditi seperti hidrokarbon, arang batu, minyak sawit dan tembaga merupakan bahagian penting dalam perdagangan dua hala dan menggariskan elemen perdagangan kepentingan geostrategik di Asia Pasifik.

"Malaysia dan Australia adalah antara negara yang menyertai empat kerangka ekonomi, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia, iaitu RCEP dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik. Ini menunjukkan minat bersama kita dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan merentasi rantau yang dinamik ini.

"Kami juga gembira dengan komponen menumpukan kepada perdagangan dalam strategi Southeast Asia Economic Strategy (SEAS) yang dilancarkan Australia baru-baru ini, yang menekankan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama sedemikian antara Australia dan ASEAN di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat,” katanya dalam syarahan umum itu yang hadiri lebih 500 pelajar.

Menurut beliau, ekonomi Malaysia kini berada di landasan dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 dan Kerangka Ekonomi Madani yang menggariskan bidang keutamaan yang sama seiring dengan SEAS.

Perdana Menteri berkata, pada tahun-tahun mendatang, peluang baharu akan muncul untuk pelabur Australia dalam sektor pendigitalan, tenaga boleh baharu dan peralihan tenaga, pemprosesan tani dan sektor hiliran kimia dan mineral, bertepatan dengan usaha Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi yang kompleks dan maju.

Artikel Berkaitan:

"Satu ciri khas baharu dalam hubungan kita, yang dahulunya dikategorikan sebagai Perkongsian Strategik, ialah peningkatannya kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, yang mengekalkan hubungan dua hala kita yang kukuh, dengan kerjasama merentasi pelbagai bidang, selalunya menjangkaui ekonomi tradisional, diplomatik, keselamatan dan budaya.

"Lebih penting lagi, ia juga memberi penekanan kepada perkongsian aspirasi serantau dan hasrat untuk bekerjasama secara strategik pada peringkat pelbagai hala,” kata beliau.

Antara yang hadir pada majlis syarahan itu ialah Menteri Luar Australia, Penny Wong; Timbalan Naib Canselor (Akademik), Profesor Grady Venville dan Profesor Kehormat, Gareth Evans.

Anwar berlepas dari Melbourne ke Canberra pada Khamis yang menjadi sebahagian daripada lawatan rasmi berturut-turut beliau ke Australia atas jemputan rakan sejawatnya Perdana Menteri, Anthony Albanese.

Pesawat khas membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Canberra kira-kira 12.32 tengah hari waktu tempatan (9.20 pagi waktu Malaysia) bagi memulakan lawatan rasmi selama sehari.

Selain syarahan umum tersebut, Perdana Menteri dijadual melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral Komanwel Australia, Jeneral David Hurley, di Government House, di sini, sebelum berangkat pulang ke Malaysia pada petang ini.

Australia adalah rakan kongsi rapat dan penting bagi Malaysia yang menyaksikan kedua-dua negara menjalin kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keselamatan siber serta sains dan teknologi.

Pada 2023, perdagangan dua hala Malaysia dan Australia berjumlah AS$18.57 bilion (RM84.64 bilion), dengan Australia menjadi rakan dagang ke-10 terbesar bagi Malaysia.

Sehingga Disember tahun lepas, pelaburan diluluskan Australia di Malaysia melibatkan 582 projek, dengan pelaburan yang direalisasikan merangkumi 366 projek.

Di Melbourne, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia yang dihoskan oleh Australia dari 5-6 Mac 2024 bagi memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog Asean-Australia. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!