Jelaskan keputusan pertukaran tempat tahanan Najib - Ismail Sabri
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menjelaskan perkara berkaitan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata, beliau difahamkan rayuan berkenaan sudah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang bersidang sebelum ini.
"Saya difahamkan sewaktu membuat rayuan pengampunan oleh Najib, selain rayuan itu, ada lampiran untuk membuat rayuan supaya beliau ditukarkan tempat tahanan dari tahanan di (Penjara) Kajang ke tahanan di rumah.
"Saya difahamkan perkara ini ada dalam sebahagian lampiran permohonan pengampunan atau rayuan itu. Jadi soalan saya, apakah ini benar atau tidak.
"Kalau ianya benar, apakah ianya dibincangkan sewaktu pembentangan rayuan pengampunan dan apakah keputusannya," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor memaklumkan, kerajaan secara prinsip bersetuju memulakan PBSL menerusi tahanan di rumah kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif berkenaan dari sudut undang-undang berkaitan bagi mengenalpasti sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.
Dalam pada itu Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri mengulangi pendirian supaya kerajaan perlu mempertimbangkan supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikembalikan bagi mengelakkan kenaikan harga barangan akibat sistem percukaian tidak cekap.
"Saya bersetuju dengan pandangan beberapa rakan bahawa GST perlu dikembalikan, biar atas apa nama sekali pun, kerana ia terbukti lebih telus.
"Ia juga dapat mengimbangi fiskal kerajaan melalui kutipan hasil," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!