Masjid anjur festival antarabangsa libat wakil 16 negara

Mohd Dzohiri (empat dari kanan) bersama ahli jawatankuasa masjid mempromosikan Festival Ummatic 3.0 Peringkat Antarabangsa 2024 Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Khamis.
Mohd Dzohiri (empat dari kanan) bersama ahli jawatankuasa masjid mempromosikan Festival Ummatic 3.0 Peringkat Antarabangsa 2024 Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini menganjurkan Festival Ummatic 3.0 Peringkat Antarabangsa 2024 membabitkan penyertaan wakil daripada 16 negara selama lapan hari.

Pengerusi Masjid Muhammad Al-Fateh, Mohd Dzohiri Abdul Samad berkata, penganjuran kali ketiga sejak tahun 2017 itu merupakan yang terbesar pernah diadakan sebelum ini.

Menurutnya, penganjuran melibatkan tiga fasa bermula 25 Februari lalu akan menuju kemuncaknya pada 8 hingga 10 Mac melibatkan beberapa acara utama di tapak festival berhampiran masjid berkenaan.

"Penganjuran program ini sebenarnya bertujuan mengembalikan peranan masjid sebagai sebuah institusi masyarakat atau pusat sehenti kepada anggota kariah bukan sekadar berfungsi sebagai rumah ibadat semata-mata.

"Kita mahu menjadikan masjid ini sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan untuk membangunkan generasi belia serta merangsang ekonomi setempat," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Khamis.

Mohd Dzohiri (tengah) bersama ahli jawatankuasa Masjid Muhammad Al-Fateh membuat lawatan tapak bagi kemuncak acara Festival Ummatic 3.0 Peringkat Antarabangsa 2024 di pekarangan Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Khamis.
Mohd Dzohiri (tengah) bersama ahli jawatankuasa Masjid Muhammad Al-Fateh membuat lawatan tapak bagi kemuncak acara Festival Ummatic 3.0 Peringkat Antarabangsa 2024 di pekarangan Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Khamis.

Mohd Dzohiri berkata, sepanjang lapan hari berlangsung, sebanyak 40 program dan aktiviti dilaksanakan bermula dengan pra-Ummatic, Mobilisasi Mahasiswa Antarabangsa dan Grand Finale Festival Ummatic 3.0 yang merupakan kemuncak program.

Jelasnya, seramai 170 peserta dalam kalangan mahasiswa antarabangsa dari 16 negara termasuk Thailand, Brunei, Indonesia, Kemboja, Turkiye, Singapura, Sri Lanka, Senegal, Nigeria dan beberapa negara lain berkampung di sekitar kariah Masjid Muhammad Al-Fateh.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kehadiran mereka memeriahkan beberapa aktiviti diatur seperti seminar, khidmat komuniti bersama asnaf, sukarelawan dan pelancongan Islam di sekitar Ipoh serta Kuala Kangsar.

"Kita amat berharap agar festival yang dianjurkan ini memberi manfaat kepada masyarakat setempat selain dapat menjadi contoh kepada masjid-masjid lain.

"Semoga dengan penganjuran ini, masjid dapat terus diimarahkan dan menjadi one stop centre dalam kalangan ummah," katanya.

Jelasnya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti sepanjang tiga hari festival yang bermula esok boleh mendapatkannya menerusi laman sosial masjid dan festival.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!