Sultan Selangor tidak berhasrat sambung tugas Pengerusi MKI
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berhasrat menyambung tugas sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selepas tempoh perkhidmatan baginda tamat pada 9 Mac ini.
Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, baginda menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih seorang pengerusi baharu dalam kalangan raja pemerintah agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan terus dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
"Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen semua ahli mesyuarat serta wakil-wakil dari semua negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku Sekretariat MKI yang telah melaksanakan tugasnya dengan begitu efektif sehingga membolehkan semua mesyuarat MKI dapat dilaksanakan dengan sempurna," menurut kenyataan itu pada Khamis.
Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jakim merangkap Setiausaha MKI, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff dan Sekretariat MKI.
Menurut kenyataan itu, pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa berkenaan, baginda menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa dan sekretariat sepanjang memegang jawatan sebagai Pengerusi MKI.
Kenyataan itu memberitahu, baginda turut menyemak semua minit-minit mesyuarat yang lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang telah ditubuhkan, menjalankan tugas yang diamanahkan.
"Baginda menegaskan bahawa sepanjang bertindak sebagai Pengerusi MKI, telah menjadi kewajipan baginda untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar agama Islam di Malaysia dalam setiap keputusan yang dibuat secara muzakarah," katanya.
Merujuk kepada Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 yang menetapkan bahawa Pengerusi MKI hendaklah dipilih dalam kalangan Raja Pemerintah oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui.
Sultan Selangor mula menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI pada 10 Mac 2022 sehingga 9 Mac 2024.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!