Bekas pembantu tadbir didakwa ubah wang haram, pecah amanah RM15 juta
KUCHING - Seorang bekas pembantu tadbir kewangan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 31 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM15 juta.
Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja'afar @ Ang Chui Thong mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, di hadapan empat hakim di empat Mahkamah Sesyen berasingan di sini.
Tiga pertuduhan pecah amanah dan empat pertuduhan pengubahan wang haram dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon dan masing-masing sembilan pertuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman, Hakim Musli Ab Hamid dan Hakim Saiful Bahari Adzmi.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Zairull Arzuan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
Tertuduh didakwa melakukan transaksi mencurigakan bermula pada tahun 2020 sehingga 2022 dengan jumlah keseluruhan RM4.7 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
Sementara itu, bagi pertuduhan pecah amanah melibatkan gaji pekerja JKM Sarawak pula, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan melibatkan RM10.2 juta itu dilakukan pada 2019 sehingga 2021.
Mahkamah membenarkan Mohd Zairull Arzuan diikat jamin RM285,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!