TDM siasat dakwaan pegawai kanan 'belasah' pegawai

TDM tubuh Lembaga Siasatan untuk siasat dakwaan kes kekerasan membabitkan seorang pegawai kanannya.
TDM tubuh Lembaga Siasatan untuk siasat dakwaan kes kekerasan membabitkan seorang pegawai kanannya.
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan Lembaga Siasatan peringkat dalaman untuk siasat dakwaan kes kekerasan membabitkan seorang pegawai kanannya.

TDM dalam kenyataan berkata, ini untuk mengenal pasti punca kejadian bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya, jika sekiranya terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang didakwa, pihak TDM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan Tentera Darat sedia ada.

"TDM mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan oleh pegawai kanan yang kini bertugas di Sarawak.

"Laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu seorang pegawai tentera pada 3 Mac 2024 telah tular di media sosial mendakwa dirinya telah ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan terbabit sehingga menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan blunt trauma," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, kejadian berlaku semasa pegawai terbabit sedang menjalani latihan peringkat formasi.

Ujarnya, sebagai tindakan, pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan Tentera Darat melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

"Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memandang serius berkenaan dakwaan ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian serta tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, TDM berharap agar semua pihak tidak menularkan laporan berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif yang boleh mengganggu proses siasatan sehingga selesai dilaksanakan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!