Bakar sisa tanaman punca pembakaran terbuka
SHAH ALAM - Punca utama pembakaran terbuka hutan di Selangor dikesan dilakukan bertujuan untuk aktiviti pertanian selain jalan singkat petani membakar sisa tanaman.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 283 kes kebakaran direkodkan setakat Februari tahun ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, kebakaran belukar atau lalang paling banyak melibatkan 112 kes diikuti kebakaran sampah (103 kes), hutan (40 kes), kebun atau ladang (26 kes) dan dua kes tanah gambut.
"Kawasan hotspot hutan di Selangor ialah Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Kampung Johan Setia serta Hutan Simpan Raja Muda Musa.
"Pada masa kini, terdapat 70 hutan simpan kekal di Selangor dengan keluasan 31.39 peratus daripada keluasan negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Selangor, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, selain itu, bomba turut mengenal pasti terdapat sesetengah pemaju perumahan yang melakukan pembakaran bahan sisa pembinaan secara terbuka, sekali gus menjadi punca masalah jerebu.
"Kita mengesan terdapat pembakaran berulang di lokasi hotspot iaitu Hutan Simpan Kuala Langat.
"Saya ingin menekankan isu kebakaran terbuka ketika monsun barat daya atau musim kering lebih panjang dijangka berlaku sehingga hujung Mac, ia adalah kritikal untuk tanganinya," ujarnya.
Tegasnya, diingatkan kepada semua sewaktu musim kemarau, risiko perlu dinilai mengenai beban kemerebakan api yang akan berlaku dan elakkan meninggalkan pembakaran tanpa diawasi.
Sebelum itu, dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat JBPM Selangor, seramai 130 anggota dan pegawai menerima APC.
Nor Hisyam turut menyampaikan pada 31 penerima Sijil Perkhidmatan 30 tahun kepada mereka yang telah berkhidmat lebih daripada 30 tahun selain lima orang Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang diberikan Sijil Perkhidmatan Terpuji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!