DUN Selangor lulus pindaan kadar elaun tetap Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri

DUN Selangor pada Khamis meluluskan RUU Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023. Foto Bernama
DUN Selangor pada Khamis meluluskan RUU Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023 bagi meminda kadar kenaikan elaun tetap dan temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.

RUU itu diluluskan Speaker DUN, Lau Weng San selepas dibacakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sebanyak tiga kali.

Terdahulu, Amirudin ketika membentangkan RUU itu berkata, pindaan tersebut bertujuan bagi meminda jumlah elaun tetap dan temu duga yang dinaikkan kadarnya, berkuat kuasa Jun tahun lepas.

"Menurut Seksyen 3 Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, saraan ahli-ahlinya terdiri daripada gaji, elaun dan keistimewaan ditetapkan dan tidak boleh diubah.

"Semakan semula kadar elaun bagi ahli-ahli ini wajar, kerana kali terakhir dibuat pada 2013, melebihi 10 ke 11 tahun yang lalu. Jadi, pindaan ini diharap menjadi pemangkin untuk meningkatkan mutu perkhidmatan cemerlang,” katanya pada persidangan DUN Selangor di sini pada Khamis.

Amirudin berkata, kadar elaun yang dicadang untuk dipinda dalam suruhanjaya itu ialah pengerusi daripada RM3,000 kepada RM4,000, timbalan pengerusi RM2,300 kepada RM3,000 dan ahli-ahli suruhanjaya RM2,000 kepada RM2,500.

Sementara itu, Weng San dalam sidang media berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi serta komitmen yang ditunjukkan semua wakil rakyat, termasuk dari pembangkang pada persidangan kali ini yang bermula sejak 27 Februari.

Beliau berkata, semua wakil rakyat berbahas dan bertanya soalan dengan agak matang, walaupun ada sesekali perbahasan agak panas namun masih terkawal.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh persidangan, seramai 43 wakil rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang digulung semalam,” katanya.

Sidang DUN Selangor ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!