Suri rumah di Melaka digalakkan sertai 'Hero Pengguna'

KPDN Melaka menggalakkan penyertaan suri rumah sebagai Hero Pengguna dalam menjadi mata dan telinga menyalurkan maklumat sekiranya terdapat isu dan masalah kepenggunaan. Gambar hiasan
KPDN Melaka menggalakkan penyertaan suri rumah sebagai Hero Pengguna dalam menjadi mata dan telinga menyalurkan maklumat sekiranya terdapat isu dan masalah kepenggunaan. Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menggalakkan penyertaan wanita khususnya suri rumah sebagai Hero Pengguna dalam menjadi mata dan telinga menyalurkan maklumat sekiranya terdapat isu dan masalah kepenggunaan.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, kebanyakan golongan itu ialah pengguna yang sering membeli barangan keperluan isi rumah di pasar raya dan kedai runcit selain mahir dalam membuat perbandingan harga.

"Seperti kita tahu suri rumah ini selalu berbelanja untuk kegunaan isi rumah jadi mereka boleh tahu harga barang mana yang murah dan mahal, justeru mereka ini boleh berperanan membantu memantau harga barangan dan perkhidmatan.

"Peranan wanita sebagai pengguna juga adalah besar dan mereka memegang kuasa membeli yang memberi impak tinggi kepada ekonomi negara dan kita berharap mereka dapat aktif memainkan peranan mereka sebagai Hero Pengguna,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran Hero Pengguna peringkat negeri pada Program Kisah Wanita dan Pengguna sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia dan Hari Wanita Sedunia di Jalan Hang Tuah di sini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, pelancaran Hero Pengguna itu juga bersempena bulan sambutan bagi Sambutan Hari Wanita esok dan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia pada 15 Mac ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengalakkan golongan siswa menyertai Hero Pengguna dan mengikuti 200 program dan aktiviti kepenggunaan yang dirancang sepanjang tahun ini.

"Ini sekali gus dapat menyebar luas peranan masing-masing dengan memberi kesedaran berkaitan kepenggunaan di tempat belajar masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Melalui Hero Pengguna ini juga mereka boleh meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kepenggunaan dan membantu KPDN mengambil tindakan lebih pantas dalam memastikan hak pengguna dapat dilindungi," katanya. - Bernama