Perlis United sedia penuhi empat syarat tambahan
PERLIS United FC bersedia memenuhi empat syarat tambahan diminta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam memastikan kelab utara tanah air itu mengisi slot pasukan ke-14 Liga Super 2024/25.
Malah presidennya, Shukri Othman mengesahkan pengurusan telah pun menerima surat keputusan permohonan Perlis United untuk menyertai saingan liga bola sepak tertinggi negara musim ini.
“Ya kami sudah pun menerima dokumen tersebut.
"Insya-ALLAH, kami bersedia memenuhi keempat syarat tersebut dalam tempoh yang diberikan MFL,” katanya kepada pada Khamis.
Ditanya apakah tunggakan yang direkodkan Perlis United sebelum ini juga menjadi keutamaan pengurusan untuk diselesaikan segera, Shukri berkata, “Sudah semestinya.”
MFL sebelum ini mengarahkan Perlis United supaya memenuhi syarat tambahan bagi melayakkan pasukan itu menerima lesen luar biasa sekali gus mengisi slot pasukan ke-14 dalam saingan Liga Super 2024/25.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu selepas mendengar permohonan Perlis United menerusi cadangan First Instance Body (FIB) selepas selesai membuat semakan serta penilaian teliti dokumen berkaitan yang diserahkan Liga Bolasepak Amatur (AFL) M3.
Selain Perlis United, permohonan tersebut turut dikemukakan oleh kelab Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT bagi mengisi slot ke-14 selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super musim ini.
“Setiap permohonan perlu melengkapkan kriteria dan subkriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan dan Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023,” menurut kenyataan dikeluarkan MFL.
Jelas Stuart, berdasarkan penilaian teliti, Perlis United memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat penaja berpotensi iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.
“Perlis United turut mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan.
“Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA),” katanya.
Bagaimanapun menurut Stuart, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan Perlis United hanya akan diberikan lesen luar biasa itu dengan mematuhi beberapa kriteria ditetapkan FIB susulan janji dan jaminan diberikan pegawai-pegawai Perlis United semasa pembentangan mereka.
Katanya, MFL telah memaklumkan syarat-syarat berkenaan kepada Perlis United dan kini sedang menunggu dokumentasi penajaan dan bukti dana mereka.
Selain itu, Stuart memaklumkan pihak FIB memberikan tempoh masa terakhir kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta Kuala Lumpur City FC (KL City) bagi menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat.
KDA FC dan KL City diarahkan untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac ini.
“Kegagalan untuk membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan itu bakal mengakibatkan kedua-dua kelab Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain berserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!