Masuk darjah baru bukan kena semuanya baru
SESI persekolahan baru akan bermula Ahad ini untuk Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan negeri lain pada Isnin.
Sejak anak-anak mula bercuti Februari lepas, kedengaran banyak luahan sedih ibu bapa, terutama kawan-kawan baik Merak Jalanan sendiri.
Kebanyakan mereka mengadu kos persiapan kembali ke sekolah meningkat, terutama harga uniform, kasut, beg, buku-buku aktiviti juga alat tulis.
Untuk seorang anak yang baru masuk darjah satu, mereka terpaksa berhabis sehingga RM500 atau lebih, termasuk uniform dan kasut sebanyak dua pasang.
Itu baru seorang, bayangkan kalau keluarga yang ada tiga atau empat anak masuk sekolah serentak!
Bila dah berhabis beli barang sekolah, baru teringat wang yang tinggal cukup makan sahaja sementara tunggu gaji.
Sebenarnya, dalam keadaan ekonomi sekarang, sebagai ibu bapa, kita kena berbelanja dengan berhemah.
Membeli kelengkapan serba baru sebenarnya tidak perlu pun.
Tak salah jika ajar anak-anak untuk 'kitar semula' barang yang masih elok digunakan.
Baju dan kasut juga jika masih muat dan bersih, boleh diguna pakai semula, dengan syarat ajarlah anak kita rajin membasuh!
Manakala untuk yang baru nak mulakan alam persekolahan, tidak perlu dimewah-mewahkan dengan beg juga alat tulis berjenama. Banyak kedai serbaneka jual peralatan sekolah dengan harga marhaen.
Kalau baju kakak atau abang masih elok, adik boleh mewarisinya. Baju dan kasut baru cukuplah beli sepasang dulu.
Apa yang paling penting, buku-buku aktiviti setiap subjek yang diminta pihak sekolah perlu diutamakan kerana ia perlu digunakan dalam pembelajaran.
Lain dari itu, pandai-pandailah kita susun atur keperluan lain dengan bijaksana.
Jangan lupa ya pesan pada anak-anak, masuk darjah baru tak semestinya kena tukar semua benda serba baru.
Yang penting tekad dan azam untuk belajar bersungguh-sungguh dan jadi pelajar cemerlang!
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!