Kisah kecekalan arwah ibu sapu sampah, kutip tin undang sebak
SHAH ALAM - Seorang pemuda berkongsi kisah kecekalan arwah ibunya yang sanggup berhujan dan berpanas mencari wang demi menampung kehidupan keluarga dengan menyapu sampah serta mengutip tin di hentian rehat dan rawat (RnR) Ladang Bikam, Sungkai, Perak.
Pekerja kilang, Amir Norahim, 23, berkata, beliau terdetik di hati untuk berbuat demikian kerana mengenangkan ibunya, Allahyarhamah Jamaliah Osman sebagai sosok wanita hebat yang sanggup mengambil tanggungjawab berkenaan tatkala suami setahun terlantar di katil akibat terkena bisa duri kelapa sawit selepas terjatuh di kebun, selain menghidap kencing manis.
Menurut pemuda itu, arwah ibunya gemar mengumpul tin atau botol kosong di mana-mana sahaja untuk dijual dan tidak pernah mengeluh, malah sentiasa berbangga dengan pekerjaannya meskipun sebagai tukang sapu selama 10 tahun.
“Arwah mak sangat rajin dan tak kenal erti penat, dia juga pandai cari pendapatan sampingan yang mana rutinnya bangun awal jam 4 pagi setiap hari untuk siapkan jualan nasi lemak serta roti canai sebelum masuk kerja jam 7 pagi.
“Kalau ada rakan sekerja yang mohon cuti, dia sanggup gantikan kerana mahu cari lebih pendapatan bagi menampung keperluan perbelanjaan harian kami.
“Namun, tarikh yang tak dapat dilupakan iaitu 28 Mei 2016, arwah dilanggar dua kereta ketika nak balik sediakan makanan tengah hari anak-anak, mak meninggal di tempat kejadian akibat pendarahan di belakang kepala serta patah kaki kanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, perkongsian anak ketiga terbabit di Tiktok mendapat perhatian ramai melebihi 103,000 tanda suka dan 1,750 ulang siar sehinggakan rata-rata warganet sebak dengan kejadian menimpa keluarga itu.
Amir turut memaklumkan, pemergian ibu tercinta amat dirasai keluarga dan rakan sekerja walaupun sudah lapan tahun berlalu, malah ada yang masih memuji keperibadiannya sehingga kini.
Tambah pemuda tersebut, kesemuanya sangat mengagumi sikap dan perwatakan arwah yang peramah, tidak lokek dengan senyuman serta sentiasa memudahkan urusan orang lain.
“Saya ingat lagi pesan terakhir arwah mak adalah jaga solat, belajar berdikari, sayangi keluarga dan jadi manusia berguna.
"Jangan pernah susahkan orang lain atau hidup meminta-minta.
“Alhamdulillah semasa penghujung hayatnya, saya dan kakak-kakak dapat uruskan proses mandi jenazah, pengebumian serta tahlil tanpa sebarang kesulitan.
“Inilah nikmat terakhir yang dapat kami rasa walaupun agak terkilan kerana tak sempat nak beri kesenangan dan keselesaan buat arwah,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!