[VIDEO] MH370 hilang: Kadang-kadang termimpi, mengigau - Azharuddin

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga waris, tetapi ia turut mengubah kehidupan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu mengakui, kehilangan pesawat malang itu sebagai kes paling mencabar yang pernah dikendalikannya.

Ujar beliau, misteri kehilangan MH370 masih membelenggunya sejak pertama kali menerima berita duka itu.

"MH370 ini bukannya saya ingat sahaja, tetapi ia telah mengubah hidup saya.

"Apa yang saya alami dan lalui daripada pagi 8 Mac 2014 sejak menerima berita kehilangan, sidang akhbar pertama sehingga sidang akhbar akhir, ia masih lagi segar dalam ingatan saya.

"Kadang-kadang termimpi dan mengigau jugalah sebab kita nak tahu apa yang berlaku supaya perkara yang sama tidak akan berlaku," katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.

Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman
Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman

Berkongsi lanjut, Azharuddin berkata, sebarang spekulasi berhubung kehilangan MH370 perlu dihentikan kerana ia akan mengganggu emosi waris-waris mangsa.

Artikel Berkaitan:

Malah, beliau berharap masyarakat tidak mudah percaya dengan teori yang sengaja digembar-gemburkan mengenai pesawat MH370.

"Pada saya, spekulasi dan dokumentari tidak patut dikeluarkan sebab ini akan menyinggung perasaan waris-waris mangsa.

"Kadang-kadang ia juga menyinggung perasaan orang yang mengendalikan syarikat tersebut. Ini teori sahaja dan teori itu kadang-kadang tak betul," katanya.

Sementara itu, mengulas komitmen kerajaan untuk menandatangani kontrak bersama syarikat Ocean Infinity bagi menyambung pencarian MH370, Azharuddin berkata, ia sesuatu yang dinanti-nanti oleh semua pihak khususnya keluarga mangsa.

Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

"Keseluruhan dunia ingin mengetahui apa sebenarnya terjadi kepada MH370.

"Dengan adanya pencarian oleh Ocean Infinity, dengan peralatan-peralatan terbaharu dan canggih bersama pakar-pakar mereka, kita dapat tahu apa sebenarnya yang berlaku," tambah beliau.

'Rungkai misteri'

Kesedihan yang dirasai keluarga mangsa mendorong komitmen pelbagai pihak termasuk Kerajaan Malaysia untuk memastikan insiden seumpama MH370 tidak akan berulang.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, kerajaan meletakkan sepenuh komitmen untuk memastikan misteri yang menimpa pesawat malang MH370 dapat dirungkai.

"Ini adalah misteri terbesar dalam dunia penerbangan.

"Kita mesti menyelesaikan misteri ini dan kita berharap bahawa pencarian ini akan memberikan hasil yang positif.

"Kita juga berharap ini akan (memberi) jawapan kepada keluarga mangsa. Kita tidak ingin setiap tahun, waris mangsa menyambut ulang tahun ini dengan banyak persoalan dalam fikiran mereka dan tanpa penyelesaian," katanya ketika berucap pada Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-10 MH370 di Subang Jaya, baru-baru ini.

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia membuka semula siasatan berhubung insiden kehilangan pesawat MH370 sekiranya ada bukti baharu dan kukuh.

Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan Perdana Menteri ketika itu mengumumkan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!