Kadar zakat fitrah Perak naik antara RM1 ke RM3
IPOH - Kadar zakat fitrah di Perak tahun ini naik antara RM1 ke RM3 mengikut kepada jenis beras yang lazim dimakan.
Kadar minimum yang perlu dibayar setiap individu berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ditetapkan RM8 berbanding RM7 tahun lalu.
Kadar RM16 pula ditetapkan bagi beras super import, beras perang, beras wangi dan yang setara dengannya manakala bagi yang menggunakan beras basmathi, beras pulut atau seumpamanya sebanyak RM24.
Tahun lalu, dua jenis penggunaan beras berkenaan ditetapkan pada kadar RM14 dan RM21.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, beberapa platform kemudahan bayaran dalam talian telah disediakan seperti Financial Process eXchange (FPX) melalui portal MAIPk, aplikasi GoPayZ, Shopee atau Maybank2u.
Katanya, bayaran melalui amil pula, kutipan zakat fitrah boleh dilakukan melalui kaunter di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai seperti kompleks beli-belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan serta pejabat kerajaan atau swasta terpilih.
"Kaedah ini juga boleh dilaksanakan oleh amil fitrah lantikan kariah masjid dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat terutama warga tua," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!