'Kami sentiasa derita menentang Brentford'
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta berkata The Gunners yang memenangi tujuh aksi liga berturut-turut, perlu mengekalkan momentum dan bukannya fokus keputusan saingan kejuaraan.
“Kami hanya perlu fokus pada permainan kami, cuba untuk menang dan kemudian pada Ahad ia adalah perlawanan yang sepatutnya indah untuk ditonton penyokong-penyokong.
“Sejujurnya saya akan seronok menonton dua pasukan terbaik di Eropah.
"Saya akan duduk di sana bersama anak-anak saya dan menikmati perlawanan itu,” katanya menjelang kunjungan Brentford di Stadium Emirates minggu ini.
Sebagai rekod, Arsenal berada di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris dengan 61 mata, dua mata di belakang pendahulu Liverpool yang berdepan juara bertahan Manchester City, kedua dalam carta dengan 62 mata.
Brentford, di tempat ke-15 dengan 26 mata, mempamerkan aksi mantap menentang Arsenal di laman sendiri November sebelum Kai Havertz menjaringkan gol kemenangan buat pelawat minit ke-89.
“Ya, kami tahu tuntutan yang perlu kami penuhi dan apa yang Brentford akan berikan untuk memenangi perlawanan ini.
"Kami sentiasa menderita ketika menentang Brentford,” kata Arteta.
Sementara itu, Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka akan menjadi sebahagian skuad Arsenal apabila menerima kunjungan kelab penuh kejutan Brentford awal pagi Ahad, kata Arteta.
Kedua-dua penyerang digantikan semasa kemenangan 6-0 di Sheffield United sebelum ini dengan Martinelli mengalami kecederaan manakala Saka tidak sihat.
“Kami cukup positif bahawa diharapkan mereka boleh menjadi sebahagian daripada itu. Tetapi kita perlu lihat,” kata Arteta.
LIGA PERDANA INGGERIS
JADUAL PERLAWANAN
SABTU (9 MAC)
Manchester United lwn Everton, 8.30 malam
Crystal Palace lwn Luton Town, 11 malam
Bournemouth lwn Sheffield United, 11 malam
Wolves lwn Fulham, 11 malam
AHAD (10 MAC)
Arsenal lwn Brentford, 1.30 pagi
Aston Villa lwn Tottenham Hotspur, 9 malam
West Ham United lwn Burnley, 10 malam
Brighton lwn Nottingham Forest, 10 malam
Liverpool lwn Manchester City, 11.45 malam
SELASA (12 MAC)
Chelsea lwn Newcastle United, 4 pagi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!