JPJ Terengganu rekod 13,584 kesalahan sepanjang Ops TBC
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu merekodkan 13,584 kesalahan membabitkan 5,991 kenderaan sepanjang penguatkuasaan Operasi Tahun Baharu Cina (Ops TBC) 2024 dalam tempoh 1 hingga 29 Februari lalu.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, antara kesalahan paling popular direkodkan adalah tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan memiliki cermin gelap.
"Seramai 110 anggota penguatkuasa JPJ negeri terlibat dalam Ops TBC pada tahun ini sebagai usaha mengurangkan nahas dan kematian di jalan raya.
"Kita telah memeriksa sebanyak 50,670 kenderaan dan antara kesalahan utama dilakukan seperti tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar dan gagal mematuhi isyarat lampu merah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar semasa Operasi Khas JPJ di sini pada malam Khamis.
Mengulas lanjut, Zulkarnain menyatakan pihaknya turut menjalankan pemeriksaan bas di depoh bermula 3 hingga 7 Februari lalu.
Menurutnya, ia melibatkan pemeriksaan bas di tujuh depoh bagi memastikan bas berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
"Ketika anggota penguatkasa JPJ melakukan penyamaran dalam bas telah mendapati dua kesalahan direkodkan iaitu mengguna telefon bimbit semasa memandu dan melanggar syarat permit," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!