Lesen Skim Pelombong Kecil tangani isu perlombongan haram
KUANTAN - Kerajaan Pahang telah mengeluarkan lesen kepada pemilik tanah persendirian di negeri ini untuk menjalankan aktiviti melombong secara sah melalui Skim Pelombong Kecil (SPK).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak skim itu dilaksanakan bermula pada 2022, sebanyak 56 lesen telah dikeluarkan kepada pengusaha di Mukim Kechau, Lipis.
Menurutnya, dalam tempoh lebih dua tahun itu, kerajaan negeri telah memperoleh kutipan hasil keseluruhan kira-kira RM2.38 juta.
"Melalui skim itu akan mewujudkan situasi menang-menang kerana hasilnya bukan sahaja untuk kerajaan negeri malah pengusaha juga turut mendapat keuntungan melalui aktiviti perlombongan yang diusahakan secara sah di tanah milik mereka.
"Sebelum ini mungkin timbul salah tanggapan dalam kalangan masyarakat bahawa mineral berharga yang ditemui dalam tanah persendirian hak mereka sedangkan ia hak kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Inisiatif Pemulihan Pengurusan Mampan Industri Mineral Pahang (PRISMM) 2024 dan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) di sini pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak menghalang pemilik tanah untuk melombong mineral tetapi mereka perlu membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran sebelum menjalankan aktiviti tersebut.
"Sekiranya ada mana-mana pihak yang mahu menyertai SPK ini, mereka boleh membuat permohonan kepada kerajaan negeri menerusi Pahang Mining Corporation.
"Mana-mana pihak yang didapati melombong secara haram, kita akan tangkap dan dakwa mereka di mahkamah," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) seiring dengan hasrat kerajaan negari untuk menjadikan Pahang peneraju utama industri mineral di negara ini.
Beliau berkata, penubuhan AMMP sebagai akademi mineral yang pertama di negara ini dilihat bertepatan dengan Pahang yang begitu kaya dengan sumber mineral.
"Saya yakin AMMP ini akan menjadi nadi utama sebagai pusat peningkatan latihan kemahiran, khususnya kepada para pekerja sedia ada di dalam industri ini.
"Di samping itu, ia juga dapat melatih dan 'mempersijilkan' bakal tenaga kerja baharu yang berkemahiran yang diperlukan dalam industri perlombongan dan pengkuarian di negara ini," katanya.
Ujar beliau, AMMP akan berfungsi sebagai pusat 'capacity building' secara holistik bagi industri mineral khususnya di Pahang dan Malaysia amnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!