2,600 telur penyu berjaya diselamatkan di Port Dickson

Nicole (tengah) melepaskan anak penyu yang berjaya ditetaskan dan diselamatkan ke pantai.
Nicole (tengah) melepaskan anak penyu yang berjaya ditetaskan dan diselamatkan ke pantai.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebanyak 2,600 telur penyu diselamatkan di sekitar pantai di daerah ini tahun lalu dan 2,300 daripadanya berjaya ditetaskan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen, kesemua telur tersebut telah melalui proses pengeraman di pusat konservasi penyu di Pusat Ikan Hiasan di Teluk Kemang sebelum dilepaskan semula ke laut.

Menurutnya, terdapat tiga pemungut telur penyu berdaftar dan Glory Beach Resort merupakan satu-satunya pihak swasta yang diberi kebenaran untuk menjalankan aktiviti pengeraman telur di tempat penetasan selain galeri pameran.

Doreen
Doreen

"Pemungut telur ini akan melakukan rondaan di sekitar lokasi pantai yang menjadi tempat penyu bertelur untuk menyelamatkan telur-telur tersebut.

"Kesemua telur itu akan dieram antara 45 hingga 60 hari sebelum ia menetas dan apabila waktu sesuai akan dilepaskan ke pantai," katanya kepada pemberita ditemui pada Majlis Pelancaran Kelab Pusat Penetasan Penyu Glory dan Pelepasan Penyu, di sini pada Khamis.

Majlis berkenaan dilancarkan oleh Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Tambah Doreen, terdapat dua spesis penyu di Port Dickson iaitu spesis agar dan karah.

Artikel Berkaitan:

Hishamudin (tiga dari kanan) memberi makan penyu sambil diperhatikan Nicole (kanan).
Hishamudin (tiga dari kanan) memberi makan penyu sambil diperhatikan Nicole (kanan).

Sementara itu, Ketua Unit Pusat Pemuliharaan Penyu dan Pelepasan Penyu, Glory Beach Resort, Hishamudin Abdul Manaf berkata, sebanyak 13,000 anak penyu berjaya ditetaskan di Pusat Penetasan Penyu Glory sebelum dilepaskan ke pantai sejak pusat berkenaan diwujudkan 13 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dari jumlah tersebut kebiasaannya hanya satu daripada 1,000 penyu yang dilepaskan berjaya hidup memandangkan risiko kematian bagi anak penyu adalah agak tinggi.

Malah ujarnya, ketika berada di lautan pula, haiwan tersebut turut terdedah kepada kematian akibat termakan plastik kerana menyangkanya ia adalah ubur-ubur yang merupakan makanannya.

"Itu antara faktor paling banyak kematian penyu dan disebabkan itu pentingnya kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar kerana jika tidak haiwan ini berdepan kepupusan.

"Kebiasaannya seekor penyu boleh bertelur sehingga 500 biji telur dan di pantai Port Dickson ini yang kebiasaannya menjadi tempat penyu bertelur adalah di Glory, Tanjung Gemuk, Pantai Pejabat Daerah dan Bagan Pinang,” katanya.

Pada majlis berkenaan empat ekor anak penyu spesis agar dilepaskan yang mana dua ekor daripadanya merupakan penyu yang diselamatkan selepas tersangkut pada jaring nelayan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!