Tiga kerusi Bersatu: Pas Kelantan serah pucuk pimpinan tentukan
KOTA BHARU - Pas Kelantan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti dalam menentukan tiga kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) susulan pindaan perlembangaan parti itu.
Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, keputusan menentukan kerusi tersebut akan melalui perbincangan kepimpinan melibatkan parti-parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Perihal kerusi akan dibincangkan nanti. Kita tengok keputusan macam mana kerana parti yang akan memutuskan dan bukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Madinah Ramadan di Medan Ilmu, di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, Bersatu meminta diberi keutamaan bertanding di Parlimen Jeli dan Gua Musang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri jika kosong selepas perlembagaan dipinda untuk melucutkan keahlian terhadap Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong pihak bertentangan atau musuh.
Pindaan dibuat selepas enam ahli Parlimen Bersatu termasuk dua dari Kelantan iaitu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd Nassuruddin yang juga Menteri Besar Kelantan turut yakin isu yang berlaku melibatkan kesemua Ahli Parlimen Bersatu tersebut tidak akan menjejaskan sokongan rakyat di negeri itu kepada PN khususnya Pas.
“Pada Pilihan Raya ke-15 baru-baru ini, rakyat sudah memilih kami, Pas dan Bersatu.
“Apa-apa pun berlaku Insya-ALLAH rakyat akan bersama kita,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!