Tolak kekasih dari tingkat 23, pemandu lori didakwa membunuh
SHAH ALAM - Pemandu lori yang ditahan kerana menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium didakwa di Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan membunuh wanita warga Thailand berusia 32 tahun itu, minggu lalu.
Tertuduh, V Nathan, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Mawika Lumyai di sebuah unit kondominium di Setia Alam, Seksyen U13, pada jam 10.02 malam, 28 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, sekiranya didapati bersalah.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh, yang diwakili peguam, T P Aravind Raj.
Sasha Diana kemudiannya tidak membenarkan tertuduh ikat jamin sebelum menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pada Rabu, seorang wanita warga Thailand maut dipercayai ditolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium di sini.
Suspek terlibat yang merupakan lelaki warga tempatan itu diberkas selepas kejadian berkenaan.
Menurut saksi, semasa kejadian terdengar pergaduhan sebelum mendakwa melihat mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh kondominium tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!