ABIM mahu perluas Kempen Seorang Sekampit Beras
JOHOR BAHRU - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor berazam memperluaskan program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) ke seluruh negeri di sepanjang Ramadan, kali ini.
Menurut Yang Dipertuanya, Farhan Ashari, program sedemikian dilihat bakal memberi manfaat terutamanya bagi membantu golongan yang memerlukan bagi menyambut ketibaan Ramadan.
"Program KSSB ini bermula sejak 2006 lalu dan sehingga kini bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Hari ini (Jumaat), merupakan siri pertama dan ada beberapa lagi siri yang kita rancang untuk buat ke seluruh negeri termasuk ke perkampungan Orang Asli.
"Kita juga dalam usaha mengumpulkan lebih ramai sukarelawan dari seluruh negeri bagi merealisasikan hasrat berkenaan," katanya ketika ditemui sempena pelancaran program KSSB di Dewan Kampung Melayu Majidee, di sini pada Jumaat.
Sempena pelancaran KSSB, Farhan turut mewakili mewakili Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyerahkan sumbangan seperti beras dan kelengkapan lain kepada penerima.
Untuk rekod, seramai 100 penerima daripada golongan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) yang berkelayakan dari sekitar Kampung Melayu Majidee hadir pada program kali ke-18 itu.
Mengulas mengenai pemilihan penerima program KSSB, Farhan berkata, ABIM akan merujuk kepada pihak amil, ketua kampung serta jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mengenai pasti individu yang layak selaku penerima.
"Selepas kesemua data diperoleh, barulah penyerahan bantuan akan dibuat hasil sumbangan individu, jabatan, agensi kerajaan atau swasta. Boleh kata macam CSR (program tanggungjawab sosial) jugalah.
"Ada juga yang bayar zakat melalui kita dan tukarkan kepada bentuk barangan seperti ini untuk diserahkan kepada pihak yang layak," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!