Jumlah penganggur turun kepada 567,300
PUTRAJAYA - Kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus pada Januari lepas dengan bilangan pengganggur terus menurun kepada 567,300 orang berbanding 567,800 orang pada Disember 2023, menurut Statistik Tenaga Buruh Januari 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal dalam trend menaik selari dengan kedudukan ekonomi negara yang terus meningkat dan perkembangan ekonomi global.
"Oleh itu tenaga buruh pada Januari 2024 menunjukkan peningkatan berterusan, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 17.05 juta orang berbanding 17.03 juta orang pada bulan sebelumnya.
"Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 70.2 peratus seperti pada bulan lepas.
"Trend positif ini didorong oleh peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menurun," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mohd Uzir juga berkata, bahawa bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus daripada bulan sebelumnya, merekodkan 16.48 juta orang berbanding 16.46 juta orang pada Disember 2023.
Pada masa yang sama katanya kategori penduduk bekerja sendiri terus mencatatkan trend peningkatan pada bulan tersebut, naik 0.3 peratus kepada 3.01 juta orang berbanding tiga juta orang.
Menurutnya mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan kekal meningkat terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.
Beliau berkata, trend yang sama juga dilihat dalam bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian pada Januari 2024, manakala bilangan penduduk bekerja dalam sektor pertanian juga kembali meningkat pada bulan tersebut berbanding bulan lepas.
Mohd Uzir berkata, 79.8 peratus daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif dan kategori ini mencatatkan penurunan 0.2 peratus kepada 452,500 orang berbanding 453,600 orang.
Beliau berkata, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.6 peratus pada Januari 2024, merekodkan bilangan penganggur belia sebanyak 306,800 orang berbanding 307,200 orang pada bulan sebelumnya, manakala kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah 6.7 peratus dengan 439,700 penganggur belia berbanding 432,100 orang pada bulan sebelumnya.Mohd Uzir berkata, kedudukan ekonomi di Malaysia dilihat stabil dengan jangkaan permintaan domestik yang lebih tinggi hasil daripada pengurangan inflasi pada Januari lepas, dan pasaran pekerjaan yang terus kukuh serta kedudukan kewangan yang menyokong selain peningkatan dalam aktiviti pelancongan akan dapat meningkatkan aktiviti ekonomi sekali gus membawa kepada pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan.
"Pasaran buruh di Malaysia dijangka bertambah baik dan kekal stabil dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dipacu oleh ekonomi domestik yang berdaya tahan.
"Situasi ini dijangka akan terus menjana peningkatan permintaan tenaga kerja sekali gus berperanan sebagai pemacu penting untuk menstabilkan ekonomi secara berterusan," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!