Masih ramai tidak buat tuntutan INSAN - Exco
KUALA SELANGOR - Jumlah individu di negeri ini yang yang tidak membuat tuntutan Program Skim Insurans Am Selangor (INSAN) masih rendah.
Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Ekonomi Penjagaan Selangor, Anfaal Saari berkata, setakat ini, hanya RM200,000 tuntutan sahaja yang dibayar kepada individu atau waris pencarum.
Menurut beliau, jumlah tuntutan itu masih dianggap rendah berbanding seramai enam juta rakyat yang didaftarkan di negeri ini.
"Masih ramai belum membuat tuntutan dan saya berharap mereka yang telah berdaftar dalam sistem INSAN perlu sahkan pendaftaran mereka dengan memuat naik MyKad untuk mendapatkan perlindungan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyampaian Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada waris Allahyarham Siti Norfatihah Anan, 24 di kediaman keluarga itu di Tanjong Karang pada Jumaat.
Siti Norfatihah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tanjong Karang-Sungai Besar, 1 Februari lalu.
Anfaal memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi pelaksanaan INSAN yang telah dimulakan pada 1 Oktober 2022 dan berakhir April tahun ini.
Jelas beliau, pelan insurans am secara berkelompok yang diperkenalkan kerajaan negeri itu bertujuan melindungi kehilangan upaya kekal atau kematian akibat kemalangan.
"Selangor adalah negeri pertama yang melakukan skim seumpama ini di negara ini yang mana kita mahu melindungi rakyat Selangor bermula dari bayi sehingga usia emas," tambah beliau.
Dalam pada itu, Anfaal memberitahu, kerajaan negeri juga bersedia bekerjasama dengan PERKESO untuk mencarum lebih ramai rakyat bagi perlindungan dan keselamatan sosial.
Beliau menjelaskan, dari segi intervensi, majikan sendiri perlu memahami tanggungjawab mencarum pekerja selain skim diperkenalkan PERKESO seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
"Dari segi polisi kerajaan negeri, kita mahu kerjasama dengan PERKESO bagi memupuk tentang kesedaran, hak dan juga termaktub dalam undang-undang.
"Tetapi juga dari segi komponen lain seperti golongan rentan, OKU (orang kurang upaya) dan yang tidak ada pendidikan tinggi, mereka ini juga diharap tidak terlepas pandang untuk mendapatkan perlindungan dan jaminan keselamatan sosial," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!