Meraih khusyuk dalam ibadah, kehidupan

Latih diri menghadirkannya setiap kali dengar khutbah Jumaat, amalkan ia dalam aktiviti seharian

KHUSYUK bukan hanya dituntut di dalam solat, bahkan dalam ibadah-ibadah lain dan aktiviti seharian. Gambar Pexels.com
KHUSYUK bukan hanya dituntut di dalam solat, bahkan dalam ibadah-ibadah lain dan aktiviti seharian. Gambar Pexels.com
A
A
A

PEMANDANGAN yang sering kali dilihat di dalam masjid ketika khatib menyampaikan khutbah adalah segelintir daripada umat Islam yang tertidur atau leka dengan telefon bimbit.

Perbuatan tersebut jelas menunjukkan bahawa sesetengah kita tidak khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan sebelum solat Jumaat didirikan.

Berbicara mengenai khusyuk, ia bukan sahaja diperlukan dalam ibadah solat, bahkan dalam ibadah-ibadah lain, malah dalam kehidupan seharian kita juga memerlukan khusyuk atau mindfulness ini.

Khusyuk dalam solat bermaksud kesedaran hati terhadap bacaan seperti zikir dan doa yang dituturkan lidah sambil memerhati serta memikirkannya, menghayati makna dan berasa sedang bermunajat kepada ALLAH.

Begitu juga dalam ibadah lain dan kehidupan seharian kita yang memerlukan khusyuk ini, ia merangkumi pelbagai aspek termasuk pertuturan, pemerhatian, pemikiran, perbuatan dan penghayatan.

Fokus, tinggalkan urusan lain

Firman ALLAH SWT dalam ayat ke-9 Surah al-Jumuah:

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu). Demikian itu adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

Artikel Berkaitan:

Pengasas Akademi Tadabbur Malaysia, Ustaz Mohd Yusof Arbain merujuk kepada ayat tersebut menjelaskan, pentingnya konsep khusyuk dalam mendengar khutbah pada hari Jumaat sehinggakan ALLAH memerintahkan orang-orang beriman untuk meninggalkan urusan jual beli.

PU YUSOF
PU YUSOF

“Ini kerana perbuatan jual beli melibatkan dua pihak dan prosesnya memakan masa sehingga menyebabkan hilangnya tumpuan umat Islam untuk mendengar khutbah.

“Selain itu, tidur dan menggunakan telefon bimbit semasa khatib menyampaikan khutbah juga boleh menghilangkan khusyuk dan boleh dikategorikan sebagai perbuatan yang lalai atau lagha,” ungkapnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada program bual bicara Sinar Jumu’ah yang bertajuk Sihat Tubuh Badan, Hak Yang Dilupakan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dipancarkan melalui platform Facebook dan YouTube QuranHour, Facebook Sinar Harian dan Sinar Islam Plus.

Turut menjadi ahli panel, Pengarah Kesihatan Solusi Sihat Network, Dr Zuraihan Zakaria. Forum dihoskan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Ustaz Fazrul Ismail manakala Jalaluddin Mohd Zaiki bertindak sebagai qari jemputan.

Menghadap, pandang khatib

Mengulas mengenai sunnah Nabi Muhammad SAW untuk meraih khusyuk ketika mendengar khutbah, Mohd Yusof yang juga dikenali dengan PU Yusof berkata, jemaah boleh menghadap khatib ketika ia disampaikan.

“Para sahabat Nabi Muhammad SAW menghadap dan memandang Baginda ketika khutbah disampaikan. Jika masjid besar, kita boleh menggunakan teknologi visual melalui skrin televisyen agar jemaah dapat melihat khatib supaya mereka lebih menghayati apa yang disampaikan.

“Nabi Muhammad SAW juga mengajarkan kita untuk beralih tempat sekiranya mengantuk.

“Antara lain amalan salafussoleh juga boleh diamalkan iaitu mereka tidak makan makanan yang berat sebelum solat Jumaat dan mereka juga hanya melakukan qailulah selepas selesai solat,” jelasnya.

Makan selepas solat Jumaat

Menjawab persoalan dari sudut kesihatan, Zuraihan berkata, sunnah Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid perlu diamalkan umat Islam sebelum duduk mendengar dan menghayati khutbah Jumaat yang disampaikan khatib.

DR ZURAIHAN
DR ZURAIHAN

“Apabila kita berjalan kaki ke masjid, ia merupakan satu senaman atau latihan kepada badan. Ia membuatkan sel-sel dalam badan dapat menjana tenaga dan menyebabkan badan kita lebih segar dan fokus untuk mendengar khutbah.

“Sebagai contoh, jika kita makan nasi beriani dengan lauk yang banyak sebelum solat Jumaat, tenaga di dalam badan kita akan tertumpu di bahagian perut untuk memprosesnya. Ini akan membuatkan kita lebih mengantuk,” jelasnya.

Zuraihan turut mencadangkan agar para jemaah membawa air minuman ke masjid supaya mereka boleh meminumnya apabila mengantuk.

Menurutnya lagi, khusyuk merupakan salah satu terapi yang baik untuk kesihatan badan dan mental.

PU Yusof (dua dari kanan) bersama Dr Zuraihan (dua dari kiri), Ustaz Fazrul (kiri) dan Jalaluddin dalam bual bicar Sinar Juma'ah bertajuk Sihat Tubuh Badan, Hak Yang Dilupakan.
PU Yusof (dua dari kanan) bersama Dr Zuraihan (dua dari kiri), Ustaz Fazrul (kiri) dan Jalaluddin dalam bual bicar Sinar Juma'ah bertajuk Sihat Tubuh Badan, Hak Yang Dilupakan.

“Jika kita mengamalkan mindfulness (khusyuk) ini, kita dapat melakukan sesuatu perkara termasuk ibadah dengan lebih baik.

“Saya lihat sekarang ini, ketika makan pun sudah hilang khusyuk apabila leka dengan telefon bimbit di tangan. Sedar tidak sedar makanan di pinggan sudah habis.

“Cubalah amalkan sunnah Nabi SAW dengan makan secara berjemaah. Ini kerana interaksi ketika makan bersama-sama itu membuatkan kita lebih fokus untuk menikmati makanan dan menyebabkan kita juga makan dengan beradab serta tidak gelojoh,” katanya.

Jelasnya, cubalah untuk menghadirkan khusyuk dalam setiap perbuatan yang dilakukan kerana ia menghasilkan impak positif sekali gus menolak unsur negatif.

"Apabila kita melakukan sesuatu ibadah dengan khusyuk, ia dapat menenangkan hati dan jiwa seperti mana yang disebut ALLAH SWT dalam ayat 28, Surah ar-Ra’du:

“Ketahuilah dengan zikrullah (mengingati ALLAH) itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!