Aksi Malaysia-Oman kekal di Bukit Jalil
PERLAWANAN Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya menentang Oman pada 26 Mac kekal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, perkara itu diputuskan selepas tinjauan padang yang telah dilakukan pada Khamis dengan jaminan keadaan rumput berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan tersebut.
"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac bersama-sama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon serta barisan kejurulatihannya telah melakukan lawatan bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium berkenaan pada Khamis, 7 Mac.
"Turut serta Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub yang juga Ahli Lembaga Pengarah PSM; Noor Azman; Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi serta pihak konsultan teknikal serta kontraktor padang tersebut.
"Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang menjelang perlawanan pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk aksi menentang Oman itu nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, kebimbangan timbul mengenai keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil selepas berlangsungnya konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran yang menyaksikan pentas diletakkan di tengah padang.
Keadaan padang rosak bukan pertama kali berlaku kerana sebelum ini PSM turut dikritik teruk susulan keadaan padang yang rosak selepas penganjuran konsert kumpulan Coldplay.
Dalam pada itu, Noor Azman turut menjelaskan tiket perlawanan menentang Oman akan mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my pada Sabtu dengan harga tiket bagi semua kategori dikekalkan iaitu sama seperti perlawanan pertama menentang Republik Kyrgyz, November lalu.
"Bagi kategori tiket terbuka, harga ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun; RM60 bagi tiket grandstand dan RM80 bagi tiket premium," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!