Laluan Mokhtar Dahari dapat kurangkan kesesakan

Amirudin menyerahkan Sijil Perakuan Siap Projek selepas perasmian penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan (B49) Persiaran Mokhtar Dahari hari ini.
Amirudin menyerahkan Sijil Perakuan Siap Projek selepas perasmian penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan (B49) Persiaran Mokhtar Dahari hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Projek Menaiktaraf Laluan (B49) Persiaran Mokhtar Dahari yang dibuka secara rasmi hari ini dijangka dapat mengatasi kesesakan lalu lintas sebanyak 30 hingga 40 peratus.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek yang bermula sejak tahun 2016 itu dilaksanakan susulan daripada rungutan daripada penduduk setempat yang sering berdepan masalah kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, kerajaan Selangor responsif pada waktu itu telah mengumumkan mengenai pelaksanaan projek tersebut yang bernilai RM150 juta.

"Dengan perasmian jalan ini, penduduk setempat sendiri mengakui masalah trafik dapat dikurangkan dan diharap inisiatif ini dapat memudahkan masyarakat setempat di sini," katanya kepada pemberita selepas perasmian penyerahan projek berkenaan hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir Shahabuddin M Muhayidin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Haris Kasim.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pelaksanaan projek itu siap sepenuhnya pada 23 September tahun lalu dengan perbelanjaan kos pembinaan sebanyak RM111.5 juta.

"Pelaksanaan projek ini melibatkan kerja memperluas dan menaik taraf jalan sedia ada dari JKR R3 standard kepada JKR U5.

"Jumlah panjang jalan yang dinaik taraf adalah sepanjang empat kilometer dan projek ini turut membabitkan pembinaan dua jejantas utama di persimpangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Amirudin, pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja dapat menjamin keselamatan orang ramai malah turut memberi keselesaan kepada pengguna lalu lintas lain.

"Reka bentuk jalan yang dinaik taraf ini lebih selamat dan menjamin keselesaan pengguna lalu lintas di sini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!