Penunggang motosikal maut langgar belakang Toyota Alphard
ISKANDAR PUTERI - Seorang penunggang motosikal maut manakala empat lagi individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terselamat dalam kemalangan melibatkan kedua-dua kenderaan terbabit di kilometer (KM) 1.4 Lebuhraya Linkedua arah Utara, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, Rahmat Ariffin berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan MPV jenis Toyota Alphard cuba melakukan pusingan U di laluan berkenaan sebelum dilanggar motosikal jenis Yamaha Tracer dari arah belakang.
"Kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal jenis Yamaha Tracer yang bergerak lurus telah melanggar bahagian kanan MPV jenis Toyota Alphard itu yang cuba membuat pusingan U menghala ke Singapura.
"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berusia 42 tahun dan bekerja di sebuah kilang di Singapura itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian," katanya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Rahmat berkata, pemandu MPV berusia 33 tahun yang juga seorang juruterbang termasuk dua penumpang yang bekerja sebagai arkitek berusia 31 dan 32 tahun serta seorang warga emas berusia 60 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang maut mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!