8,900 wanita Palestin terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober lalu
GAZA - [DIKEMAS KINI] Sekurang-kurangnya 8,900 wanita Palestin telah terbunuh di Semenanjung Gaza sejak konflik antara Israel-Hamas meletus di wilayah terkepung itu pada 7 Oktober lepas, menurut pejabat media Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Wanita Antarabangsa, pejabat itu menekankan 'penghinaan' berterusan terhadap wanita oleh tentera rejim.
"Hari yang disambut di seluruh dunia itu bertepatan dengan pembunuhan kejam tentera penceroboh terhadap wanita Palestin dalam perang genosid Israel dengan dunia menyaksikannya tanpa mengambil tindakan,” menurut kenyataan itu.
Pejabat media berkata, sejak meletusnya konflik di wilayah yang terkepung, lebih 23,000 wanita telah cedera, 2,100 lagi hilang dan lebih setengah juta kehilangan tempat tinggal.
Kira-kira 60,000 wanita hamil terdedah kepada risiko tanpa rawatan perubatan mencukupi, dengan ratusan lagi kehilangan anak akibat pengeboman Israel.
Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza setakat ini membunuh hampir 30,700 penduduk Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Menurut kumpulan Palestin, pasukan keselamatan rejim turut menahan ribuan penduduk Palestin dalam tempoh sama. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!