Lima unit kedai di bangunan warisan Kuching terbakar
KUCHING - Sederet lima rumah kedai di bangunan warisan serta sebuah kereta Toyota Avanza yang diparkir di Jalan Ewe Gai berdekatan Carpenter Street di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.40 tengah hari tadi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan Batu Lintang bergegas ke lokasi kejadian.
"Insiden ini melibatkan kedai perabot dan kedai makan dengan sebuah kenderaan dan dua kedai perabot terbakar sepenuhnya, manakala dua kedai musnah 50 peratus serta satu kedai lagi musnah 30 peratus.
"Api merebak sangat cepat...ke siling dan atap hingga ke kedai sebelah. Kita berjaya mengawal api pada 2.48 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat saksi serta pemilik kedai, kesemua yang berada dalam unit berkenaan berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.
Menurutnya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih disiasat. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!